Mahkamah buang permohonan kerajaan lucut hak Umno ke atas RM192 juta

Peguam (dari kiri) Hariharan Tara Singh, Tania Scivetti dan Nur Fazreen Hazrina Rahim yang mewakili Umno.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membuang permohonan kerajaan yang memohon untuk melucut hak Umno ke atas RM192 juta atas sebab wang itu bukan daripada hasil kegiatan haram daripada 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata 7 cek bernilai RM245 juta yang Umno terima daripada presidennya sebelum ini, Najib Razak dibelanjankan pada pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

“RM192,965,413.65 yang dibekukan itu tidak boleh dikatakan wang yang Umno terima daripada Najib,” katanya.

Beliau berkata wang yang Umno terima daripada Najib sudah dibelanjakan dan jumlah yang dibekukan itu pula daripada syarikat-syarikat dan sumber-sumber lain.

Atas sebab sama, hakim juga menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak Wanita MCA ke atas RM300,000, Binsabi Sdn Bhd (RM777,250) dan Perano Sdn Bhd (RM337,734).

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat yang memohon wang itu terus dibekukan sementara menunggu perbicaraan untuk menggantung keputusan hari ini selesai.

Mahadi, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan notis rayuan dan kemudian permohonan penggantungan rasmi pada Jumaat depan.

Peguam Hariharan Tara Singh, Tania Scivetti and Nur Fazreen Harnina Rahim mewakili Umno.

Wanita MCA diwakili Ben Chan, manakala Perano diwakili Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman, sementara Binsabi diwakili Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku wang daripada 4 entiti itu pada Jun 2018 kerana didakwa berkaitan skandal 1MDB.

Ketua SPRM Latheefa Koya berkata badan itu memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali yang didakwa dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

Latheefa berkata pelucuthakan itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) bagi mendapatkan kembali RM270 juta yang didakwa wang 1MDB yang dipindahkan daripada akaun Najib ke individu-individu dan entiti-entiti berkenaan.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana didakwa daripada 1MDB dalam akaun AmBanknya.