PMO nafi laporan dakwa Dr M kata tuduhan rasuah ke atas AirAsia transaksi ‘offset’

Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar perdana menteri.

PETALING JAYA: Laporan media mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan tuduhan pemberian rasuah ke atas syarikat penerbangan AirAsia transaksi “offset” adalah tidak tepat dan mengelirukan, kata pejabatnya hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan menjelaskan Mahathir tidak pernah berkata tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi “offset”.

Katanya, Mahathir semasa menjawab soalan media menekankan ia prosedur biasa untuk kerajaan meminta “offset” dalam pembelian berharga tinggi. “Beliau tidak pernah menyatakan AirAsia mendapat manfaat daripada prosedur ini.”

“Perdana menteri menambah jika wang disalurkan kepada individu maka ia rasuah. Jika bukan untuk kepentingan peribadi, maka beliau berpandangan ia bukanlah rasuah,” katanya.

“Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan samada ia adalah rasuah ataupun tidak,” tambahnya.

PMO menasihat media supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab kerana berita tidak tepat akan menimbulkan kesan yang tidak baik ke atas pemahaman orang ramai mengenai sesuatu isu.

“Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar perdana menteri,” katanya.

Semalam, Mahathir berkata, walaupun beliau tidak berani membuat sebarang keputusan berhubung dakwaan rasuah oleh Pejabat Kesalahan Berat (SFO) British yang dikaitkan dengan AirAsia dan AirAsia X, tetapi baginya rasuah hanya berlaku apabila duit yang diterima seseorang digunakan untuk diri sendiri.

Pada Jumaat, SFO mendakwa Airbus memberi rasuah AS$50 juta kepada eksekutif yang dikaitkan dengan AirAsia dan AirAsia X bagi mendapatkan pesanan kapal terbang.

Ia berkata, Airbus menaja pasukan sukan yang dimiliki oleh eksekutif AirAsia semasa perundingan pembelian kapal terbang.

Pada Isnin, AirAsia Group berkata, ia menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyemak dakwaan itu dan ketua pegawai eksekutif Tony Fernandes serta pengerusi Kamarudin Meranun akan berundur sekurang-kurangnya selama 2 bulan sewaktu syarikat penerbangan itu dan pihak berkuasa menyiasat dakwaan terbabit.

Fernandes dan Kamarudin menafikan apa-apa salah laku.