Sabah laksana sekatan baru bagi warga China, individu bukan penduduk

Kerajaan Sabah memperluaskan sekatan kemasukan di semua pintu masuk darat, laut dan udara mulai esok bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus ke negeri itu.

KOTA KINABALU: Sabah melaksanakan sekatan kemasukan terbaru kepada warga asing dan juga rakyat Malaysia bagi melindungi sempadannya daripada penularan wabak koronavirus, walaupun negeri itu tiada sebarang kes positif setakat ini.

Pejabat setiausaha negeri menerusi kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri memperluaskan sekatan kemasukan di semua pintu masuk darat, laut dan udara mulai esok.

Di bawah sekatan terbaru itu:

  • Semua warga asing dengan sejarah lawatan ke China dalam tempoh 14 hari lalu tidak dibenarkan masuk ke Sabah.
  • Warganegara Malaysia yang bukan penduduk Sabah dengan sejarah kunjungan ke China dalam tempoh 14 hari lalu tidak akan dibenarkan memasuki negeri itu.
  • Rakyat Sabah, penduduk tetap dan penduduk yang mempunyai permit kerja, belajar, permit lawatan sosial jangka panjang atau perintah pengecualian, sekembali dari China wajib menjalani kuarantin rumah selama 14 hari.
  • Semua penumpang transit berasal atau melalui China tidak dibenarkan memasuki negeri itu.

Kenyataan itu turut menasihatkan warga China yang masih berada di Sabah supaya meninggalkan negeri itu sebelum visa mereka tamat tempoh.

“Jika visa mereka tamat tempoh, hanya satu lanjutan visa maksimum 7 hari boleh diberikan.”

Pada 30 Jan lalu, kerajaan Sabah menggantung semua penerbangan yang dijadualkan dan sewa khas dari China buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik.