Ringgit dijangka terus menyusut minggu depan

Pasaran kewangan masih terkesan dengan penularan koronavirus dengan bilangan mangsa terus meningkat.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus menyusut berbanding dolar US pada minggu depan, di tengah-tengah prospek pengukuhan mata wang Amerika Syarikat itu dan ketidakpastian berhubung impak daripada penularan novel koronavirus 2019.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd afzanizam Abdul Rashid berkata, perdagangan yang bersifat elak risiko diramalkan berlaku secara aktif dalam jangka masa terdekat, ini menyebabkan permintaan bagi mata wang selamat melonjak.

Pasaran kewangan masih terkesan dengan penularan koronavirus dengan bilangan mangsa terus meningkat, katanya.

Pasaran menunggu pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku keempat 2019 yang akan dikeluarkan pada minggu depan sebagai pendorong utama bagi mencari hala tuju pasaran serta sebagai kayu pengukur ke atas penilaian Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kesan penularan koronavirus ke atas ekonomi negara.

“BNM mahu menunjukkan bahawa mereka mempunyai keanjalan dasar dan bersedia untuk bertindak jika keadaan itu menyebabkan kelonggaran lagi monetari.

“Justeru , kami tidak menolak jika ada lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman. Ringgit mungkin akan berlegar di sekitar paras rintangan serta merta pada RM4.1406 berbanding dolar US,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.1360/1400 berbanding dengan 4.0960/1000 yang dicatatkan semasa Jumaat minggu sebelumnya.

Hong Leong Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan memberitahu ringgit adalah antara mata wang yang mencatatkan penurunan ketara di Asia pada minggu lepas, selepas dolar Singapura, berikutan pengukuhan dolar AS yang dirangsang oleh data yang positif termasuk kebimbangan mengenai koronavirus.

Dolar AS terus mencerminkan kemantapan pada minggu tersebut, dibantu oleh peningkatan keyakinan dalam ekonomi AS dengan indeks dolar AS (DXY) menyentuh paras tinggi sebanyak 98.572 daripada paras terendah, 97.35 yang direkodkan awal bulan ini.

“Pembebasan Presiden Donald Trump daripada perbicaraan pemecatan turut membantu dalam mengurangkan ketidakpastian, manakala pengumuman China mengenai potongan tarif ke atas barangan AS, sebagai sebahagian daripada fasa 1perjanjian perdagangan, juga membantu mengukuhkan dolar AS,” kata bank itu.

Menurut bank itu, dolar AS dijangka terus kukuh, dengan sasaran DXY 99.00, khususnya jika keadaan elak risiko berterusan minggu depan, tambahan pula, mata wang itu masih mempunyai banyak ruang untuk naik terutama jika laporan wabak virus ini terus memburuk.

“Kami menjangka kedua-dua mata wang didagangkan pada paras 4.14 hingga 4.15 minggu hadapan sekiranya ia mencecah rintangan 4.1400,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9730/9769 daripada 2.9988/3.0032 pada Jumaat minggu sebelumnya dan meningkat berbanding pound British kepada 5.3466/3534 daripada 5.3723/3792.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.5306/5354 daripada 4.5167/5227 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7672/7712 daripada 3.7581/7628.