PPSMI untuk mantap penguasaan sains di sekolah, kata Dr M

Dr Mahathir berkata, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bertujuan memantapkan penguasaan bidang sains bermula di peringkat persekolahan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, untuk menguasai bidang sains, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bidang itu berkembang di negara Barat melalui bahasa tersebut.

“Bagi saya penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. Ia datang dari luar hasil daripada budaya yang berlainan daripada kita.

“Budaya kita dahulu apabila berhadapan dengan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita.

“Tetapi pendekatan saintis mereka ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan,” katanya menerusi temu bual eksklusif dengan portal berita The Malaya Post malam tadi.

Mahathir, yang juga pemangku menteri pendidikan berkata, saintis negara Barat sentiasa berusaha mencari kebenaran terhadap sesuatu masalah melalui proses penyelidikan dan berkongsi setiap penemuan dalam bahasa Inggeris.

“Hari-hari mereka keluarkan pendapat (penemuan) baru yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Memang kita boleh terjemah, tetapi kita kena fasih (faham) bidang sains. Kalau tidak faham, kita tidak boleh terjemah ke dalam bahasa Melayu,” katanya.

Justeru, beliau berpendirian bahawa perkara itu perlu diterima semua pihak sekiranya ingin melihat negara maju ke hadapan.

Buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Mahathir, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Menerusi temu bual selama hampir sejam itu, Mahathir turut ditanya mengenai model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri ke-4 pada 1997, beliau berkata walaupun agak sukar untuk diperkenalkan, namun ia menjadi pusat perpaduan antara kaum di negara ini.

“Bila ada sekolah seumpama ini, kita akan ada 3 sekolah dalam satu kampus. Walaupun guna bahasa berlainan, tetapi apabila ada perhimpunan waktu pagi mereka akan berkumpul bersama, bersukan bersama di dalam satu pasukan campuran. Dengan ini, pelajar dapat berjumpa dan berhubung,” katanya.