Tentera Thailand amuk, bunuh 26 orang ditembak mati

Jakrapanth Thomma dibunuh pasukan keselamatan di pusat membeli-belah di Nakhon Ratchasima. (Gambar Facebook)

BANGKOK: Anggota tentera Thailand yang mengamuk dan melepaskan tembakan rambang menyebabkan 26 orang terbunuh dan 57 lagi cedera di Nakhon Ratchasima (juga dikenali sebagai Korat) di timur laut Thailand ditembak mati pasukan keselamatan pagi tadi.

Komander Pusat Perintah Tentera Darat Wilayah Kedua Leftenan Jeneral Thanya Kriatisarn berkata Jakrapanth Thomma yang berusia 32 tahun dibunuh pasukan keselamatan di pusat membeli-belah di Nakhon Ratchasima di mana dia bersembunyi selama kira-kira 17 jam.

“Ya, penembak itu dibunuh pada kira-kira pukul 9 pagi hari ini,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata jumlah mangsa yang disahkan terkorban adalah termasuk seorang pegawai keselamatan.

“Terdapat 57 mangsa yang cedera dan 25 daripada mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan manakala 32 lagi masih berada di hospital, termasuk 12 yang akan menjalani pembedahan.

“Ia tidak pernah berlaku di Thailand. Saya mahu kejadian ini menjadi yang terakhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas menziarahi mangsa yang cedera di hospital di Nakhon Ratchasima, kira-kira 250km dari Bangkok.

Prayuth berkata motif di sebalik serangan itu dipercayai akibat dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya dia telah ditipu.

Anggota tentera itu menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya dan 2 lagi di Kem Tentera Surathampithak serta mengambil selaras senjata api jenis Heckler & Koch HK33 dan peluru dari artileri sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan Humvee.

Dia kemudian melepaskan berdas-das tembakan rambang di beberapa lokasi termasuk sebuah kuil Buddha di bandar itu.

Suspek turut melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu dari kem tentera itu ke pusat membeli-belah Terminal 21.

Suspek yang memakai topi tentera melakukan penstriman secara langsung mengenai serangan itu di Facebook dan memuat naik swafotonya yang sedang memegang selaras raifal.

“Keletihan. Saya hampir tidak mampu menggerakkan jari-jemari saya,” tulisnya di video yang dimuat naik pada kira-kira pukul 7.30 malam (waktu tempatan). Bagaimanapun, video itu kemudian dikeluarkan.

Semasa insiden itu, pusat membeli-belah tersebut sibuk dengan pelanggan hujung minggu pada Sabtu. Beratus-ratus pelanggan dan kakitangan yang terperangkap di dalam Pusat Membeli-belah Terminal 21 dibawa keluar selepas pasukan keselamatan mengambil alih kawalan di tingkat bawah sebelum tengah malam.

Media tempatan melaporkan terdapat insiden berbalas tembakan yang sengit pada awal hari ini.

Sementara itu, Komander Polis Wilayah 3, Leftenan Jeneral Poonsap Prasertsak berkata seorang pegawai polis yang menyertai operasi tersebut terkorban.