Baru Bian mahu umum kos Lebuhraya Pan Borneo 20 Feb

Menteri Kerja Raya Baru Bian.

BANGI: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, beliau hanya akan mengumumkan kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo melibatkan bahagian di Sarawak apabila projek itu diserahkan kepada kementeriannya pada 20 Feb ini.

Baru menjawab soalan yang ditujukkan kepadanya oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah semalam yang mahu tahu kos pembinaan lebuh raya itu melibatkan negeri berkenaan.

Terdahulu bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof menyanggah kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat bahawa kerajaan menjimatkan RM3.1 bilion dengan membatalkan Rakan Kongsi Penyampai Projek (PDP Lebuhraya Borneo Utara Utara Sdn Bhd (LBU) – penamatan yang akan berkuat kuasa pada 20 Feb.

Guan Eng berkata, kos pembinaan bahagian Sarawak lebuh raya itu dikurangkan kepada RM18.8 bilion daripada harga asal RM21.9 bilion. Fadillah dan Karim bagaimanapun menolak angka tersebut.

“Kita akan umumkan kos sebenar selepas kementerian mengambil alih projek berkenaan pada 20 Feb,” katanya pada satu acara di sini.

“Saya akan umumkan sendiri dan berikan maklumat tepat.

“20 Feb akan menjadi tarikh bersejarah,” kata Baru selepas melancarkan acara Cultural Night Run @2nd Penang Bridge di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia di sini.

Pada 4 Sept lepas, Kabinet membuat keputusan menamatkan PDP dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyelaras pengurusan baki projek tersebut, sekali gus menjmatkan bayaran komisen 5.5% yang perlu dibayar kepada PDP.

Sebanyak 11 pakej Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sepanjang 786.4km itu kini akan diselia tanpa PDP.

Fadillah berkata, kenyataan Lim bahawa kos projek berkenaan akan dikurangkan daripada RM21.8 bilion kepada RM18.8 bilion adalah “mengelirukan dan tidak jujur” dengan menyebut bahawa kos sasaran asal projek itu ditetapkan sebanyak RM16.488 bilion, bukan RM21.9 bilion.

Dalam pada itu, Karim bertanya sama ada Baru “cukup berani” untuk memberitahu rakyat Sarawak kos sebenar lebuh raya itu di negeri berkenaan.

“Adakah kosnya RM16 bilion atau RM18.8 bilion atau RM21.9 bilion?”, soal naib presiden PBB itu dalam satu klip video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.