Koronavirus: Kementerian pantau pembelian panik warga Singapura di Johor

Menurut KPDNHEP, pemeriksaan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai dilaksanakan bagi memastikan barang kawalan, makanan dan barangan asas lain mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan di Johor sejak Sabtu lepas bagi memastikan tiada pembelian panik barangan isi rumah oleh warga Singapura di negeri itu.

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai dilaksanakan untuk memastikan barang kawalan, makanan dan barangan asas yang lain mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Sebanyak 604 premis diperiksa oleh KPDNHEP Johor melibatkan 60 pegawai penguat kuasa sepanjang 2 hari operasi dijalankan.

“Data yang diterima oleh kementerian daripada pemborong berkaitan stok barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung adalah mencukupi bagi pengguna di negeri Johor,” jelasnya.

Menurut KPDNHEP, pemantauan turut dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti menyorok barangan kawalan dalam kalangan peruncit dan harga dijual mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pemantauan itu jelasnya, dijalankan susulan penularan klip video memaparkan pembelian panik di Singapura selepas kerajaan negara itu menaikkan amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) dari tahap kuning kepada jingga bagi membendung penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCov).

Sementara itu, KPDNHEP Johor menerima 65 aduan berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut susulan penularan 2019-nCov.

Menurut kenyataan itu, daripada 187 pemeriksaan yang dijalankan, 2 premis menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi dari yang ditetapkan telah dikompaun, masing-masing sebanyak RM500 dan RM10,000.