Rakyat Malaysia kerja di Macau kes terbaru koronavirus

Ketua pengarah kesihatan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan positif koronavirus pada 9 Feb lalu dan dirawat di Hospital Sungai Buloh. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang bekerja di Macau dan pernah ke China sebelum pulang ke tanah air pada 1 Feb lalu, dijangkiti koronavirus.

Beliau ialah pesakit ke-18 disahkan positif koronavirus di negara ini dan rakyat Malaysia ke-6.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berusia 31 tahun terbabit yang mula batuk dan tidak sihat pada 3 Feb, 2 kali ke klinik untuk mendapatkan rawatan pada 4 dan 6 Feb lalu.

“Pada 7 Feb, beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di mana selanjutnya pada hari sama beliau dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Setelah disaring dan disiasat, beliau dikesan mengalami radang paru-paru dan dimasukkan ke hospital tersebut.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi. Beliau seterusnya dirujuk segera ke Hospital Sungai Buloh.”

Hisham berkata, hospital itu memulakan rawatan serta siasatan lanjut, dan keputusan ujian menunjukkan beliau positif koronavirus novel (2019-nCoV) pada 9 Feb lalu.

Katanya, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dimaklumkan untuk mengesan kontak rapatnya dan mengambil langkah pencegahan serta kawalan.

“Saya ingin menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang. Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.”

Untuk penerangan atau maklumat lanjut mengenai koronavirus, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan di talian 03-88810200, 03-88810600, 03-88810700 atau e-mel [email protected].

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, seorang lelaki warga China berusia 63 tahun yang merupakan kes ke-10 positif koronavirus dan dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur, dibenarkan pulang petang semalam kerana beliau pulih sepenuhnya.