Sokong IS: Singapura tahan pelajar 17 tahun di bawah ISA

Menurut Kementerian Dalam Negeri Singapura, pelbagai usaha dilakukan kementerian itu sejak 2017 untuk menjauhkan suspek daripada laluan radikal,beliau kekal menjadi penyokong kuat IS. (Gambar Reuters)

SINGAPURA: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah berusia 17 tahun ditahan pada Jan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong kumpulan militan negara Islam di Iraq dan Syria (IS), menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu hari ini.

MHA berkata, suspek mula disiasat pada Sept 2017 ketika berusia 15 tahun selepas memuat naik imej presiden Halimah Yacob yang dicacati di media sosial dan menggesa IS memenggal beliau kerana menyokong Singapura, yang disifatkannya sebagai sebuah negara “kafir.”

“Dia diradikalkan oleh satu kontak asing secara online yang memperkenalkannya kepada kumpulan media sosial pro-IS pada 2017,” kata kementerian itu di laman sesawangnya.

MHA berkata, melalui kumpulan ini, suspek mendapat akses kepada apa yang dia percaya adalah kandungan eksklusif IS.

“Pada pandangannya, IS adalah satu kumpulan kuat yang memperjuangkan Islam, oleh itu, penggunaan keganasan terhadap lawannya adalah wajar,” menurut kementerian itu.

MHA berkata, meskipun pelbagai usaha dilakukan kementerian itu sejak 2017 untuk menjauhkannya daripada laluan radikal tersebut, suspek kekal menjadi penyokong kuat IS.

“Dia sanggup membantu IS dalam usaha propaganda kumpulan itu secara online dan melakukan aktiviti lain jika diminta berbuat demikian oleh IS.

“Meskipun kerajaan khalifah IS di Syria dan Iraq sudah terkubur, dia masih menaruh kepercayaan kepada kumpulan pengganas itu dan perjuangan ganasnya,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MHA berkata tiada tanda-tanda bahawa suspek telah menyebarkan pandangan pro-IS kepada orang sekeliling.