Umno mungkin sokong usul undi percaya Mahathir, kata Tok Mat

Mohamad Hasan berkata, jika usul undi percaya kepada Dr Mahathir Mohamad ialah langkah baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka Umno tidak akan teragak-agak menyokongnya.

KUALA LUMPUR: Umno tidak menolak kemungkinan menyokong usul “undi percaya” kepimpinan Dr Mahathir Mohamad yang akan dibawakan PAS ke Dewan Rakyat bulan depan, sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan berkata, Umno akan mendapatkan penjelasan PAS terlebih dahulu dalam mesyuarat Muafakat Nasional, sebelum membuat keputusan secara bersama.

“Usul ini datang daripada PAS dan sebagai rakan dalam Muafakat Nasional, kita mesti lakukan secara bersama-sama.

“Jika ia merupakan sesuatu langkah yang baik, maka Umno tidak akan teragak-agak untuk bersama,” katanya selepas Ceramah Muafakat Nasional Parlimen Bandar Tun Razak malam tadi.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, ahli Parlimennya akan membawa usul “undi percaya” bagi menyokong kepimpinan Mahathir ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan.

Katanya, usul menyokong kepimpinan perdana menteri sehingga tamat penggal ini bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara yang menurutnya terdapat banyak kemelut belum selesai.

PAS secara terbuka menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri sehingga mandat pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan tamat pada 2023.

Pada 20 Jan lalu, FMT melaporkan kemungkinan berlaku penjajaran baru politik yang boleh mendorong PAS ke Putrajaya berikutan kemerosotan sokongan kepada PH dan pertemuan Presidennya, Abdul Hadi Awang dengan Mahathir.

Penjajaran baru itu yang dikatakan bakal menghimpunkan kumpulan menyokong Mahathir serta pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu akan memberi kesan buruk kepada DAP dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang akan menjadi perdana menteri ke-8 menerusi persefahaman antara pimpinan PH.

Bagaimanapun, Mahathir pada 8 Feb lalu menafikan beliau mempelawa Umno dan PAS menubuhkan kerajaan baru.

katanya, banyak spekulasi dibuat berikutan keterbukaannya untuk berjumpa dengan semua pihak, termasuk pemimpin pembangkang.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat turut mengingatkan pemimpin dan ahli Umno terus memfokuskan usaha merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, bukannya pembentukan kerajaan pintu belakang seperti yang disebarkan khabar angin.

“Dua, 3 hari ini ada bising-bising, apa yang hendak dibisingkan? Orang belum melamar kita lagi, kita sudah bising. Itu sebabnya orang kata strategi kena betul, ini langkah tidak betul, maka mudah dibaca orang.

“Jangan pening-pening kepala hendak masuk pintu belakang atau pintu tepi. Kita ingat pilihan raya sajalah. Kalau ada rezeki, ada. Jangan menikam dari belakang.

“Kebanyakan empayar seperti Andalusia, Uthmaniyah kalah bukan disebabkan orang luar, tetapi orang dalam. Jadi, janganlah kita menjadi penderhaka kepada perjuangan.”

Katanya, kenyataan itu tidak merujuk mana-mana individu dan beliau enggan mengulas tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merujuk Ahli Majlis Tertingginya, Lokman Noor Adam ke Lembaga Disiplin.

Jumaat lalu, MKT menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Lokman kerana menyerang Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa mahu bekerjasama dengan Mahathir.

Susulan itu, Lokman mendakwa beliau dipecat daripada Umno melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi negeri yang bukannya ahli MKT.

Katanya, Umno memerlukan pemimpin yang sedia berjuang untuk rakyat, bukannya individu yang “berkompromi dengan golongan berkuasa”.

Oleh itu, beliau menggesa Zahid berundur jika hanya mampu tunduk kepada Mahathir bagi menghalang pendaftaran Umno dibatalkan dan akaun banknya dibekukan.