Maldives mohon maaf insiden pelancong berbikini dikasari ketika ditahan

Tular di media sosial pelancong wanita berbikini dikasari polis ketika ditahan.

Speaker Parlimen Maldives memohon maaf kepada seorang pelancong Britain selepas rakaman penahanannya oleh beberapa anggota polis mencetuskan kemarahan di media sosial.

Seperti diketahui umum, pelancongan adalah pendapatan utama di Maldives dengan pulau tropika yang cantik di Lautan Hindi ia sememangnya popular bagi pasangan pengantin baharu dan selebriti.

Dalam kejadian itu, menurut polis Maldives, wanita tersebut berpakaian “tidak senonoh” apabila hanya berbikini dan berjalan di jalan utama.

Malah wanita itu juga dikatakan mabuk ketika ditahan selepas enggan mematuhi arahan supaya menutup badannya.

Peraturan di Maldives sebelum ini menetapkan semua pelancong perlu berada di dalam kawasan resort sahaja, berasingan daripada penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka membenarkan pelancong asing tinggal di kawasan penduduk.

Pelancong juga dibenarkan memakai pakaian renang seperti bikini di resort tetapi tertakluk kepada kod berpakaian tempatan di tempat lain.

Video yang dikongsi di media sosial baru-baru ini menunjukkan 3 lelaki cuba menahan pelancong wanita berkenaan, sementara seorang lagi kelihatan cuba menutupnya dengan tuala.

Wanita itu kemudian menjerit “kamu menyerang saya secara seksual” semasa kejadian itu.

Speaker Mohamed Nasheed memberitahu Parlimen, beliau menyampaikan permohonan maaf kepada wanita terbabit, yang ditahan 2 jam oleh polis sebelum dibebaskan.

Pelancong itu kemudiannya bertindak keluar dari Maldives, tetapi Nasheed berharap pihak berkuasa pelancongan akan menjemputnya kembali ke pulau itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perkhidmatan Polis Maldives, Mohamed Hameed menerusi postingnya di Twitter berkata, video yang dikongsi itu diakui “agak keterlaluan”.

“Saya minta maaf kepada pelancong dan orang ramai berhubung kejadian ini. Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas apa yang berlaku dan sedang menyiasat sepenuhnya.”

Pada Jumaat lepas, polis Maldives dalam satu kenyataan menggesa pelancong untuk menghormati “sensitiviti budaya dan peraturan tempatan”.

Video kejadian itu juga mencetuskan kemarahan di kalangan penduduk tempatan kerana sikap agresif pelancong itu yang dilihat sengaja menarik cermin mata hitam salah seorang anggota polis.

Manakala bekas menteri luar, Dunya Maumoon mengkritik kedua-dua pihak iaitu pelancong dan polis atas kejadian itu.

“Pelancong wanita itu sepatutnya menghormati norma-norma agama dan budaya negara dari segi pakaian bersederhana di kawasan kediaman.

“Saya kecam cara polis Maldives kendali kes itu. Sebenarnya ia boleh ditangani lebih baik dan lebih profesional,” kata Maumoon di Twitter.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]