Wow… Robot jadi konduktor muzik orkestra

Android atau robot ini bukan sahaja mengawal tempo dan kelantangan muzik dalam persembahan, malah turut sama menyanyi. (Gambar Instagram Keiichiroshibuy)

Kecanggihan teknologi pada masa kini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Malah dunia mula menerima hakikat keupayaan robot ketika teknologi semakin digunapakai setiap sisi kehidupan manusia.

Ia selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang semakin pesat dan berkembang ketika ini.

Menurut laporan Reuters, Robot bukan sahaja dicipta dan direka untuk industri teknologi, namun, pelbagai bidang telah mula mengambil tempat untuk mencuba kegunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ini.

Menariknya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah robot menyerupai wajah manusia, lengkap dengan tangan, berupaya mengambil alih tugas manusia sebagai konduktor muzik dalam sebuah persembahan orkestra.

Diberi nama Android Alter 3, robot itu kelihatan seperti menari-nari dan membuat gaya tangan yang lincah seperti konduktor muzik manusia meskipun tidak berpakaian dan tidak bertongkat.

Menurut seorang komposer, Keiichiro Shibuya, robot semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian manusia.

Bagaimanapun, katanya situasi itu berbalik kepada kepada kita sama ada untuk memutuskan bagaimana teknologi kecerdasan mampu menambah baik pengalaman manusia dan android dalam karya seni.

“Hasil ini ibarat metafor kepada hubungan manusia dan teknologi. Kadangkala robot berupa manusia atau android ini akan menjadi gila, jadi manusia perlu teruskan persembahan juga. Tapi, kadangkala manusia boleh turut bekerjasama dengan selesa,” ujarnya.

Tugas Shibuya hanyalah menulis lagu, namun android ini bukan sahaja mengawal tempo dan kelantangan muzik dalam persembahan itu, malah turut sama menyanyi.

Bagaimanapun seorang pengunjung yang hadir dan mahu dikenali sebagai Billum berkata konduktor manusia lebih baik berbanding robot.

“Sentuhan manusia telahpun hilang,” kata Billum, sekalipun dia sendiri meminati teknologi AI dan menanti-nantikan pencapaian seperti ini.

Persembahan orkestra itu dipertontonkan di dalam satu acara, “Sharjah Performing Arts Academy”, Januari lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]