Pemandu Myvi dalam kemalangan kanak-kanak tercampak dari kereta direman 3 hari

Semalam, rakaman video kejadian kanak-kanak tercampak dari kereta di Lebuhraya PLUS berdurasi 59 saat, tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian netizen.

REMBAU: Seorang lelaki direman 3 hari bagi membantu siasatan kes kemalangan sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan DSP Shaifulizan Sulaiman berkata reman bagi pemandu Myvi berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Majistret Rembau, bermula hari ini sehingga 14 Feb.

Lelaki berkenaan yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek berwarna hitam tiba di mahkamah pada kira-kira 9.30 pagi, diiringi anggota polis.

Semalam, rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi 59 saat, tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai netizen.

Dalam kejadian pada 3.21 petang di KM235.5 lebuhraya PLUS, berhampiran Senawang, seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan.

Susulan rakaman video berkenaan, pemandu Perodua Myvi yang dipercayai menghimpit kenderaan berkenaan, ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira pukul 4.50 petang, semalam.