Projek solar tak bentang di Dewan Rakyat, bekas menteri beritahu mahkamah

Mahdzir Khalid berkata, beliau sekadar mematuhi arahan Najib Razak untuk mengeluarkan surat setuju terima kepada Jepak Holdings berhubung projek panel solar bagi sekolah Sarawak.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Rosmah Mansor yang kemungkinan kontraktor tidak mampu menyiapkan projek panel solar bagi sekolah Sarawak tidak pernah dibawa ke Dewan Rakyat.

“Ini sebuah projek Kementerian Pendidikan dan tiada keperluan membawa perkara itu ke Kabinet serta Dewan Rakyat,” katanya ketika disoal peguam Rosmah, Jagjit Singh.

Peguam itu berulang kali mempersoalkan keterangan Mahdzir di mahkamah yang berkata beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias Ahmad membuat pelan sandaran kerana tidak yakin dengan kontraktor, Jepak Holdings Sdn Bhd mampu menyiapkan dan mengekalkan projek berskala besar.

Jagjit: Anda gagal menjalankan tugas sebagai menteri pendidikan? Anda patut memaklumkannya kepada Kabinet dan seluruh negara.

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.

Jagjit sekali lagi menuduh Mahdzir menerima sogokan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, tetapi Mahdzir menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Ditanya sama ada beliau mematuhi garis panduan kementeriannya apabila mengeluarkan surat setuju terima kepada Jepak Holdings untuk projek solar itu, Mahdzir berkata, peguam terbabit berulang kali bertanyakan perkara berkenaan kepadanya.

Mahdzir mengulangi keterangannya, beliau sekadar mematuhi arahan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk mengeluarkan surat itu.

Jagjit menyifatkan Mahdzir sebagai “saksi tidak konsisten” yang dibalas Mahdzir: “Adakah itu yang anda mahu?”

Mahdzir turut memberitahu mahkamah, ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat projek solar itu, pihak berkuasa tidak memohon perintah reman terhadapnya.

Peguam Akberdin Abdul Kader kemudian bertanya jika Mahdzir disiasat atas dakwaan menerima rasuah RM50,000, tetapi Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengingatkan pihak pembelaan soalan sama sudah ditanya berkali-kali.

Perbicaraan diteruskan.

Rosmah berdepan 3 pertuduhan rasuah atas dakwaan meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi untuk membantu syarikat itu mendapat Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.