Airbnb, TripAdvisor antara 112 syarikat dikaitkan dengan penempatan Israel

PBB berkata aktiviti syarikat yang tersenarai adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa. (Gambar AP)

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan senarai 112 syarikat yang menjalankan aktiviti di penempatan Israel, yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Airbnb, Expedia dan TripAdvisor.

Gerakan itu diraikan rakyat Palestin tetapi dikecam sebagai “memalukan” oleh Israel, di mana para pegawai bimbang senarai itu boleh digunakan untuk memboikot firma yang mempunyai hubungan dengan penempatan itu.

Laporan PBB itu dikeluarkan sebagai tindak balas kepada resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB 2016 yang menggesa “pangkalan data bagi semua perniagaan yang terlibat dalam kegiatan khusus yang dikaitkan dengan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki”.

Antara perniagaan dalam senarai itu ialah pelbagai syarikat besar antarabangsa, termasuk Airbnb, Alstom, Booking.com dan Motorola Solutions.

“Saya sedar isu ini telah berlaku, dan akan terus menimbulkan perbalahan hebat,” kata ketua hak asasi PBB, Michelle Bachelet.

Namun beliau menambah penemuan itu tertakluk kepada “proses semakan yang terperinci dan teliti” dan laporan itu “mencerminkan pertimbangan yang serius yang diberikan kepada mandat yang belum pernah berlaku dan sangat rumit ini”.

Israel, yang secara rutin menuduh PBB, khususnya Majlis Hak Asasi Manusia menentangnya, menyelar penerbitan laporan itu.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengisyaratkan akan bertindak balas.

“Sesiapa yang memboikot kami akan diboikot.

“Kami menolak keras usaha keji ini,” kenyataan dari pejabat Netanyahu memetiknya sebagai berkata.