Anwar bincang spekulasi komplot dengan Dr M

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membincangkan isu mengenai peralihan kuasa dan penjelasan berhubung muslihat dilakukan pembangkang dan segelintir pemimpin PKR.

Anwar berkata, Mahathir sendiri menegaskan beliau tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegasnya untuk melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, beliau secara peribadi menyokong Mahathir menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Feb ini,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau turut memaklumkan Mahathir bahawa pimpinan Pakatan Harapan dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Jan 2018.

“Iaitu tegas menyokong kepimpinannya selaku perdana menteri ke-7 dan saya sebagai perdana menteri ke-8.

“Saya juga ingatkan selama hampir 2 tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat mana-mana parti bersekutu seperti PKR, DAP, Amanah dan PPBM,” katanya.