Kanak-kanak tercampak: Loke harap tiada lagi persoal penggunaan kerusi keselamatan

Pada Isnin seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Senawang.

KLANG: Kementerian Pengangkutan berharap tiada lagi suara yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bagi kenderaan persendirian.

Perkara itu ditegaskan menterinya Loke Siew Fook susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun nyaris maut selepas tercampak keluar dari sebuah kenderaan baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa supaya memandang serius insiden terbabit supaya ia tidak berulang jika semua pihak peka akan pentingnya CRS.

“Ia tidak guna kerusi keselamatan kanak-kanak sebab itu tercampak. Saya harap ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak mempersoalkan lagi keperluan kerusi keselamatan kanak-kanak ini. Kes ini satu pengajaran penting buat semua.

“Sebab itu kita perkenalkan kerusi keselamatan kanak-kanak. Sebabnya kemalangan melibatkan pelbagai faktor. Aada netizen kata saya sibuk pasal kerusi keselamatan kanak-kanak, tetapi tidak sibuk tentang perkara lain,”katanya pada sidang media selepas melawat tapak pameran pemeriksaan awam projek ECRL 2 di ibu pejabat Lembaga Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Loke turut memaklumkan pihak yang terbabit menyebabkan kemalangan itu telah diambil tindakan sewajarnya.

“Saya difahamkan polis telah ambil tindakan dan memang patut pemandu itu dikenakan tindakan sewajarnya. Bayangkan apa akan terjadi kepada bayi itu kalau kenderaan di belakang tidak sempat berhenti. Bayi dan keluarga itu amat bertuah,”katanya.

Katanya, kementerian juga dalam usaha untuk memperketat peraturan bagi kesalahan memandu.

Pada Isnin seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan lain di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Senawang.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.21 petang di KM 235.5 yang menyaksikan kanak-kanak itu tercampak keluar dari kenderaan akibat pelanggaran dengan sebuah Perodua Myvi yang dipandu secara berbahaya.

Dalam pada itu Loke berkata,walaupun pihaknya menekankan soal pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, ia tidak bermakna isu-isu lain tidak diberikan penekanan, termasuk isu pemandu mabuk.

Katanya, Kabinet juga telah bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta memandu secara berbahaya.

Kementerian sedang menunggu draf pindaan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang di Parlimen, katanya.

“Saya tidak boleh kata bila sebab perlu lihat tarikh draf itu boleh disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara. Kita akan cuba percepatkan pindaan rang undang-undang itu. Kita nak pinda undang-undang sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan

“Selagi belum ada bacaan kali pertama (di Dewan Rakyat), kita tak boleh kata bila. Saya harap ia boleh dipercepatkan, tetapi ada pelbagai faktor. Pertama perlu ada draf, kemudian dibentangkan kepada Kabinet, baru boleh bawa ke Parlimen, selain itu perlu tunggu giliran,”katanya.