Kepulangan pelakon ‘Parasite’ bawa balik trofi ke Korea Selatan disambut seperti hero

Sambutan istimewa selepas kejayaan filem Parasite meraih kemenangan di Anugerah Akademi ke-92 (Oscars 2020).

Barisan pelakon dan kru filem Parasite disambut penuh meriah sebaik sahaja tiba di Korea Selatan.

Sambutan istimewa itu dibuat ekoran kejayaan filem tersebut meraih kemenangan di Anugerah Akademi ke-92 (Oscars 2020) pada Ahad lalu.

Menurut laporan media tempatan Yonhap, pelakon filem tersebut iaitu Song Kang-ho, Lee Sun-kyun, Choi Woo-shik, Cho Yeo-jeong, Jang Hye-jin, Park So-dam, dan Park Myung-hoon disambut oleh puluhan wartawan dan peminat di Incheon International Airport.

“Kami mencapai prestasi baik kerana sokongan terus menerus daripada rakyat Korea.

“Kita akan lakukan yang terbaik untuk mempromosikan budaya dan seni Korea kepada semua peminat filem di seluruh dunia melalui filem yang berkualiti,” kata Song Kang-ho.

Sementara itu, penerbit Kwak Sin-ae turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong filem ini sejak awal pembikinan.

Parasite mencatat sejarah dalam Oscars 2020 apabila menjadi filem pertama Asia yang memenangi kategori filem terbaik (Best Picture).

Filem itu juga membawa pulang tiga kategori lain iaitu Filem Antarabangsa Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Original Terbaik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]