Kumpulan mahu desak Kabinet pecat KPN, 2 menteri berhubung kes Indira Gandhi
Hamid dilaporkan berkata, polis mengetahui lokasi keberadaan bekas suami Indira yang memeluk agama Islam, Ridhuan Abdullah.
PETALING JAYA: Satu kumpulan terdiri daripada pertubuhan sivil dan parti politik mendesak Kabinet supaya memecat ketua polis negara, menteri dalam negeri dan juga menteri undang-undang dengan mendakwa mereka gagal mengendalikan kes Indira Gandhi.
Kumpulan itu juga merancang untuk berhimpun di luar Pejabat Perdana Menteri bagi menuntut peletakan jawatan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.
Mereka berkata, kenyataan terbaru Hamid memperlihatkan sikap “tidak menghormati Mahkamah Persekutuan”.
Hamid dilaporkan berkata, polis mengetahui lokasi keberadaan bekas suami Indira yang memeluk agama Islam, Ridhuan Abdullah, yang membawa anak perempuan mereka selepas beliau mengislamkan anak tersebut secara sepihak.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pengislaman sepihak anak mereka tidak sah. Tahun lepas, mahkamah mengarahkan polis menangkap Ridhuan dan mengembalikan Prasana, yang berusia 11 bulan apabila dia diambil oleh bapanya pada 2009.
Hamid berkata, polis mahu mencari penyelesaian “menang-menang” dalam isu itu untuk kebaikan kanak-kanak terbabit.
Menteri dalam negeri, malah menteri undang-undang (Liew) tidak menyanggah kenyataan Hamid. Ini menunjukkan menteri yang bertanggungjawab ke atas polis dan menteri yang sepatutnya menjadi suara badan kehakiman, seolah-olah membenarkan tindakan KPN,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama, yang turut merangkumi kumpulan hak asasi Suaram dan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED), yang ditubuhkan berikutan kejadian orang hilang yang dikaitkan dengan polis.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Berikutan pelanggaran batas undang-undang yang begitu menjolok mata, Kabinet mestilah menunjukkan bahawa kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang dan menolak amalan kediktatoran. Ini masalah besar negara,” katanya.