Projek ECRL tak terjejas tanpa pekerja China, kata Loke

Projek ECRL dijangka siap pertengahan 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

KLANG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak terjejas tanpa kehadiran pekerja warga China yang pulang ke kawasan dijangkiti Covid-19 sempena cuti Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerja pembinaan tersebut dilaksanakan oleh warga tempatan.

“Mereka yang pulang masih bercuti di China. Ia tidak memberikan kesan kepada kerja-kerja di sini. Kerja-kerja pembinaan dilaksanakan oleh pekerja tempatan,” katanya ketika sidang media selepas melawat tapak pameran pemeriksaan awam projek ECRL 2 Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status pekerja ECRL warga China yang pulang bercuti susulan penularan wabak Covid-19.

Loke berkata, jumlah keseluruhan pekerja dari China seramai 100 orang dan 13 daripadanya dari wilayah Wuhan.

“13 dari Wuhan masih di sana dan baki yang lain tidak akan datang kembali ke Malaysia,” katanya.

Mengulas tahap kemajuan projek ECRL yang dimulakan kembali sejak tahun lalu, katanya ia mencapai tahap 15% siap.

Projek itu membabitkan jarak bermula dari Pelabuhan Klang ke Kota Bharu.

“Projek akan selesai pertengahan 2026 dan lihat bukan sahaja siap, ia akan dimulakan beroperasi pada Januari 2027,” katanya.

Pada April 2019, projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Jabatan Perdana Menteri berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

SA itu merangkumi perjanjian bagi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ECRL.