Saya rasa Rosmah boleh pengaruhi keputusan PM, kata bekas KSU kementerian

Bekas KSU Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad berkata Rosmah Mansor meminta KPM mempercepatkan proses pemberian projek panel solar kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Kementerian Pendidikan memberitahu pada perbicaraan rasuah Rosmah Mansor bahawa isteri bekas perdana menteri itu adalah individu berpengaruh kerana beliau boleh mempengaruhi keputusan Najib Razak.

Madinah Mohamad, yang juga ketua setiausaha kementerian itu dari Jun 2013 hingga September 2016, berkata beliau mempunyai persepsi sedemikian terhadap Rosmah selepas Rosmah membuat permintaan kepada kementeriannya semasa majlis Permata supaya mempercepatkan proses pemberian projek panel solar untuk sekolah luar bandar Sarawak kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Menggambarkan kejadian itu sebagai “luar biasa”, Madinah berkata ketika beliau dan VIP lain mengiringi Rosmah ke keretanya selepas majlis berakhir, Rosmah menurunkan cermin tingkap tempat duduk penumpang dan memanggilnya ke kereta.

“Dia berkata sesuatu seperti ‘you tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkan sikit’ kepada saya. Saya hanya menjawab, ‘Insya Allah Datin Seri’ dan kemudian dia pergi,” kata Madinah.

Madinah menambah pembantu Rosmah, Rizal Mansor, juga mendekati beliau pada majlis Permata yang sama dan meminta beliau melihat projek solar untuk Jepak Holdings. Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau diberitahu secara ringkas apa yang dikatakan Rizal.

“Saya terkejut kenapa Datin Seri berminat dengan projek solar dan saya berfikir sendiri kenapa dia berminat dengan projek solar,” katanya, sambil menambah Rosmah sebelum ini pernah meminta kementeriannya menambah jumlah guru di Permata dan menyelesaikan gaji mereka.

Madinah berkata permintaan Rosmah kepadanya mewujudkan “rasa kesegeraan”, mendorongnya untuk mempercepatkan kelulusan projek itu kepada Jepak Holdings.

“Jika saya tidak menunjukkan apa-apa kebimbangan mengenai projek solar, Datin Seri mungkin mengadu kepada Datuk Seri Najib bahawa terdapat kelewatan dari pihak saya,” katanya.

Madinah berkata Najib adalah orang yang mengeluarkan arahan itu, melalui arahan bertulis untuk Jepak Holdings menjalankan projek solar.

Beliau juga berkata beliau ditekan Rayak Radzwill Abdullah dari Jepak Holdings yang menghantar mesej Whatsapp kepadanya, dalam cubaan supaya Kementerian Pendidikan segera mendapat kelulusan daripada Perbendaharaan supaya kementerian itu boleh berunding projek solar melalui rundingan terus dengan syarikat tersebut.

“Rayyan menghantar mesej yang memberitahu saya supaya segera bertindak atas arahan bertulis perdana menteri mengenai pemberian projek solar dan juga menamatkan kontrak sedia ada kementerian dalam pembekalan diesel genset,” kata Madinah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan ingin menayangkan paparan skrin perbualan Whatsapp antara Madinah dan Rayyan tetapi peguam Akberdin Abdul Kader membantahnya.

“IO (pegawai penyiasat) mesti menjelaskan mesej itu,” katanya.

Pendakwa ad hoc Gopal Sri Ram kemudian berkata pasukan pendakwa mengesahkan kandungan mesej Whatsapp melalui Madinah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah akan membenarkan imej itu ditayangkan sebagai bukti.

Perbicaraan itu disambung pada 17 Feb, dengan Madinah meneruskan kesaksiannya.

Rosmah berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.