4 individu sembuh Covid-19 dibenarkan pulang, kata TPM

(Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada pertambahan kes koronavirus Covid-19 baru dilaporkan sehingga hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal 19 kes.

Beliau juga memaklumkan 4 individu yang dijangkiti Covid-19 dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh dan dibenarkan pulang seramai 7 daripada 19 individu.

“Keempat-empat individu ini merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat hari ini.

Empat individu berkenaan dikesan dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh pada 24 Jan. Mereka disahkan sembuh sepenuhnya selepas ujian pengesanan 2 kali didapati negatif.

“Kerajaan ingin mengucapkan tahniah kepada semua anggota kesihatan dan perubatan yang berusaha
menguruskan semua kes ini sehingga mereka sembuh dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah berkata 13 daripada 19 kes Covid-19 itu melibatkan warganegara China dan 6 orang tempatan.

Daripada 19 kes berkenaan, 9 kes dalam kategori Patient-Under-Investigation (PUI), 8 kes dalam kategori kontak rapat, dan 2 kes melibatkan rakyat yang dibawa pulang dari Wuhan dalam misi kemanusiaan baru-baru ini.

Wan Azizah berkata pihak berkuasa meneruskan aktiviti pengesanan kontrak bagi mengenalpasti kontrak rapat dalam setiap kes.

“Sebanyak 239 kontak rapat dikenalpasti dan jumlah ini akan bertambah sehingga pengesanan kontak rapat ini selesai,” katanya.

Wan Azizah berkata daripada jumlah itu sebanyak 181 kontak rapat terdiri orang tempatan, 46 warga China dan 12 lain-lain kerakyatan.

“Semua kontak rapat yang telah dikesan ini diambil sampel dan diletakkan di perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah memaklumkan pihak berkuasa China menerangkan peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi wilayah Hubei.

Beliau berkata terkini mana-mana pesakit di wilayah Hubei yang menunjukkan semua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal dikategorikan sebagai kes positif.

“Bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar negara China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.