Aktivis dakwa 3 syarikat hutang Pati RM2 bilion gagal serap jadi pekerja sah

Ahli Pasukan Petugas Majlis Anti-pemerdagangan Manusia Selangor, Abdul Aziz Ismail berkata hanya 110,489 daripada 744,942 pekerja asing tanpa izin yang berdaftar untuk program penggajian dan penempatan semula, menjadi pekerja sah.

PETALING JAYA: Seorang aktivis membuat laporan polis semalam terhadap 3 syarikat yang didakwanya menerima kira-kira RM2 bilion bayaran pendaftaran dan pengesahan daripada pekerja asing tanpa izin, tetapi gagal mendapatkan kerja untuk mereka di bawah program penggajian dan penempatan semula.

MYEG Services Bhd, Bukti Megah Sdn Bhd serta International Marketing & Net (Iman) Resources Sdn Bhd dilantik Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan program pengambilan semula yang bermula 15 Feb 2016 hingga 30 Jun 2018.

Pati membayar syarikat itu antara RM922.52 hingga RM4,513.86 untuk peluang hidup dan bekerja secara sah di Malaysia.

Ahli Pasukan Petugas Majlis Anti-pemerdagangan Manusia Selangor (Mapmas), Abdul Aziz Ismail berkata hanya 110,489 daripada 744,942 Pati yang berdaftar untuk program itu berjaya diambil semula untuk bekerja secara sah.

Akibatnya, beliau berkata, Pati ditahan, didakwa dan dihantar pulang kerana status mereka tidak jelas.

Beliau menggesa polis menyiasat 3 syarikat itu atas kegagalan dalam proses pengambilan semula itu.

“Mereka mengambil wang itu, tetapi tidak selesai proses pengambilan semula. Ini ialah keuntungan haram. Adakah pengubahan wang halal di Malaysia? Apa yang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buat mengenainya?” kata aktivis memperjuangkan pemerdagangan buruh sejak 1984 itu kepada FMT.

“Saya harap pihak berkuasa akan merampas keuntungan haram itu kerana ia adalah milik pekerja asing dan boleh digunakan jika mereka dihantar pulang.

“Pegawai penyiasat berkata mereka akan merujuk kes itu kepada KDN. Saya juga akan membangkitkannya kepada Jabatan Imigresen, SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas melancarkan laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Pada 1 Jun 2018, Ketua Pengarah Imigresen, Mustafar Ali dilaporkan berkata, perkhidmatan 3 ejen lantikan kerajaan terbabit akan ditamatkan pada akhir bulan itu.

Disember tahun lalu, pengarah dan perunding kumpulan pekeja asing Tenaganita, Joseph Paul Maliamauv, menganggarkan pekerja asing dihutang kira-kira RM2.5 bilion selepas membayar purata RM5,000 setiap seorang untuk diserap ke tenaga kerja tempatan melalui program penggajian dan penempatan semula itu.