Covid-19… Individu dikuarantin tinggalkan nota menyentuh hati untuk jururawat

Nota tidak ditandatangani ditinggalkan di pintu bangunan oleh seorang individu, nyatakan penghargaan mereka kepada kakitangan NHS di atas penjagaan dan rawatan sepanjang tempoh 14 hari dikuarantin. (Gambar PA/Mercury)

Seorang warganegara Britain yang berjaya “diselamatkan” dari China dan dikuarantin selama 2 minggu mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perkhidmatan kesihatan kebangsaan atau NHS atas rawatan dan penjagaan sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Metro.co.uk 83 orang dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Arrowe Park di Wirral namun kakitangan di NHS dikejutkan dengan nota yang menyentuh perasaan.

Satu nota yang tidak ditandatangani ditinggalkan di pintu bangunan, yang tertera:

“Saya enggan pergi tanpa menyatakan rasa terima kasih yang paling mendalam atas apa yang telah anda lakukan untuk kami sepanjang 2 minggu yang lalu.

“Saya tiba sebagai pembawa yang berpotensi untuk satu virus berbahaya. Saya agak cemas tentang bagaimana saya akan diterima. Namun anda menyambut kami dengan hadiah, kad, bunga dan senyuman. Anda membuat kami berasa sangat dialu-alukan.

“Dalam masa kami dilanda kekusutan, anda menjaga kami dengan penuh belas kasihan dan profesional.

“Tidak pernah langsung saya rasa anda tidak meluangkan masa untuk bercakap dengan saya atau membantu saya. Anda secara proaktif berusaha untuk membuatkan saya lebih selesa.

“Saya adalah salah seorang daripada kumpulan 83 orang itu tetapi saya yakin perasaan ini dikongsi oleh kami semua. Terima kasih”.

Kumpulan itu dikeluarkan dari bandar Wuhan, China, yang merupakan pusat tersebarnya wabak koronavirus yang sehingga kini telah membunuh hampir 1,500 orang.

Mereka telah dikuarantin selama 14 hari di dalam tempoh pengasingan sehingga semua ujian yang dilakukan disahkan negatif untuk Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]