Hampir 1,500 kematian Covid-19 di China

Kakitangan perubatan merawat pesakit di unit rawatan rapi di sebuah hospital di Wuhan, wilayah Hubei. (Gambar AP)

BEIJING: Angka korban penularan Covid-19 di China meningkat kepada 1,483 orang pada Jumaat, tetapi kes jangkitan baru di wilayah Hubei yang paling teruk terjejas berkurangan selepas pihak berkuasa mengubah cara pengiraan pesakit yang menyebabkan peningkatan mendadak sebelum ini.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei melaporkan 116 kematian baru dan 4,823 kes baru yang kebanyakannya membabitkan pesakit “didiagnosis secara klinikal”.

Wilayah itu yang menjadi pusat penyebaran wabak berkenaan merekodkan 242 kematian dan lebih 14,800 kes baru semalam.

Lebih 64,600 orang disahkan positif Covid-19 di China setakat ini.

Pegawai kesihatan di Hubei berkata, mereka mula mengira kes didiagnosis secara klinikal bagi memastikan pesakit dapat dirawat seawal mungkin, bukannya menunggu sehingga ujian makmal untuk mengesahkan mereka dijangkiti Covid-19.

Tetapi, perubahan definisi kes itu meningkatkan kebimbangan wabak berkenaan mungkin lebih serius daripada apa yang dilaporkan pihak berkuasa.