Justo dakwa 2 individu berkait skandal 1MDB di Switzerland, UK

Pemberi maklumat skandal 1MDB, Xavier Justo (kiri) berkata sekarang terserah kepada kerajaan Switzerland untuk menangkap Tarek Obaid (tengah) dan Patrick Mahony (kanan) yang dikehendaki pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Pemberi maklumat dalam skandal 1MDB, Xavier Justo mendakwa dia tahu di mana 2 individu yang dikehendaki pihak berkuasa berada.

Bekas pekerja PetroSaudi International itu beritahu FMT Tarek Obaid berada di Switzwerland sementara Patrick Mahony pula kadangkala di Switzerland dan United Kingdom.

“Saya ada kawan-kawan di Geneva yang tahu,” katanya ketika ditanya bagaimana dia tahu di mana pengarah PetroSaudi International Limited itu berada.

Perkembangan ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa berkata waran tangkap terhadap 2 lelaki itu dan ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho sudah dikeluarkan.

Beliau berkata SPRM juga sudah meminta Interpol mengeluarkan amaran merah terhadap 3 individu itu.

Mereka didakwa dengan konspirasi jenayah kerana bersubahat dengan pemerolehan sejumlah AS$69 juta (RM286 juta), wang yang menurut SPRM berkaitan dengan 1MDB dan SRC International.

Pada 2015, Justo ditahan di sebuah pulau percutian di Thailand susulan dakwaan oleh PetroSaudi bahawa dia menuntut bayaran sebagai balasan untuk tidak mendedahkan maklumat sulit. Dia dilepaskan 18 bulan kemudian.

Dokumen daripada PetroSaudi berhubung usahasama dengan 1MDB yang bocor itu kemudian disiarkan oleh media tempatan dan antarabangsa dan menjadi asas kepada siasatan pengubahan wang di serata dunia.

Waran tangkap terhadap Obaid dan Mahony menggembirakan Justo dan keluarga.

“Sudah masanya Tarek Obaid dan Patrick Mahony berdepan tangkapan.

“Selepas semua yang mereka sudah lakukan terhadap keluarga kami dan apa yang diambil daripada rakyat Malaysia, pihak berkuasa ada kewajipan moral untuk menangkap mereka,” kata Justo.

Beliau menambah sekarang terserah kepada pihak berkuasa Switzerland untuk bertindak.

“Itu sewajarnya untuk kami dan rakyat Malaysia,” tambahnya.

PetroSaudi International adalah syarikat di mana berbilion ringgit yang dikatakan dari 1MDB disalurkan.

Susulan peletakan jawatannya dari syarikat itu kerana perselisihan dengan Obaid, Justo memperoleh satu cakera keras mengandungi 230,000 emel, termasuk maklumat tentang dakwaan penggelapan dalam urusan PetroSaudi-1MDB.