Kajian: Kebanyakan responden mahu Matematik, Sains diajar dalam bahasa Inggeris

Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula program pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

SHAH ALAM: Sebuah badan pemikir berkata, kebanyakan responden dalam tinjauannya menyokong cadangan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi orang politik berbeza pandangan.

Pengarah EMIR Research Jamari Mohtar berkata, kajian sulung badan itu yang diumumkan pada 28 Nov tahun lepas menunjukkan pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris merupakan 5 isu teratas yang disokong oleh 2,000 responden yang dikaji.

Isu lain termasuklah usaha memerangi rasuah dalam agensi kerajaan dan keperluan mempunyai kakitangan awam yang jujur dan cekap.

“Daripada dapatan kajian, seolah-olah wujud persetujuan dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan PPSMI,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Serantau Hidup Bersama di sini.

EMIR Research juga mendapati 51% responden di kawasan bandar bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI, sementara 43% di kawasan luar bandar menyokongnya.

“Tetapi kaedah pengajaran bahasa Inggeris di kawasan luar bandar harus berbeza dengan kawasan bandar.

“Guru perlu menyesuaikan kaedahnya. Kurikulum tidak harus dilaksanakan serupa sepenuhnya dengan kawasan bandar,” kata Jamari.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya komited dengan 1 pendekatan dan tidak berdolak-dalih berhubung pelaksanaan PPSMI.

Merujuk kepada Singapura sebagai contoh, Jamari berkata, “walaupun 75% penduduk Singapura berketurunan Cina, dan secara logiknya bahasa Mandarin patut digunakan, namun ia memilih bahasa Inggeris”.

“Ini kerana mereka bersikap realistik bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa perhubungan dunia.”

Pensyarah di Universiti UCSI Tajuddin Rasdi bagaimanapun berkata, tidak ada keperluan untuk membezakan antara format pengajaran di bandar dan luar bandar di Semenanjung Malaysia.

“Saya tidak nampak banyak perbezaan antara orang Melayu di bandar dan luar bandar di semenanjung. Mereka mempunyai akses kepada teknologi, telefon pintar dan Wifi. Jadi tak perlu format pengajaran berbeza.

“Bagaimanapun keadaannya berbeza bagi pelajar luar bandar dan pribumi di Malaysia Timur,” katanya.

Tajuddin mahu kerajaan memberi “kelonggaran” kepada pelajar luar bandar dan pribumi di Malaysia Timur kerana sekolah mereka masih kekurangan kemudahan dan akses.

“Kerajaan tidak harus mengenakan standard yang sama dengan pelajar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menghantar guru yang sensitif kepada kebudayaan setempat dan berkebolehan bercakap dalam bahasa mereka.

Tajuddin juga mencadangkan strategi bagi memastikan pengenalan semula PPSMI berjalan lebih baik, iaitu sekolah mesti mewujudkan budaya bercakap dalam bahasa Inggertis sama ada di dalam kelas, semasa perhimpunan atau hanya bercakap sesama sendiri.

Kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi menggaji graduan menganggur yang mahir berbahasa Inggertis sebagai pembantu guru seperti yang dilakukan di United Kingdom, tambahnya.

Tajuddin menggesa sekolah supaya memberi focus kepada kefasihan bahasa Inggeris dengan menyediakan lebih banyak bahan bacaan dalam bahasa itu.