Mangsa ke-2 runtuhan kondominium berjaya dikeluarkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa kedua itu berjaya dikeluarkan selepas 5 jam terperangkap. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pekerja binaan yang terperangkap berjaya dikeluarkan selepas sebahagian struktur kondominium 38 tingkat yang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, runtuh hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata mangsa kedua itu berjaya dikeluarkan selepas 5 jam terperangkap.

“Alhamdulilah, mangsa telah dapat dikeluarkan dan diselamatkan.

“Keadaan mangsa sebentar tadi dalam keadaan kesakitan dan (mengalami masalah) pernafasan. Tetapi sudah mendapat sokongan pernafasan,” katanya kepada pemberita ditemui di tempat kejadian.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi FMT mengesahkan kejadian tersebut.

Difahamkan, terdapat 2 mangsa yang terperangkap dalam runtuhan berkenaan, tetapi salah seorang daripada mereka berjaya dikeluarkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, mangsa kedua yang merupakan pekerja warga Bangladesh berusia 26 telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berterima kasih kepada polis dan bomba yang membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

“Tugas utama selamatkan mangsa telah selesai dan tugas kedua ia jalankan siasatan dan sebagainya.

“Seramai 160 anggota bomba dikerah ke lokasi dengan 70 anggota polis,” katanya.

Sebahagian daripada runtuhan kondominium dalam pembinaan di Jalan Klang Lama hari ini. (Gambar Bernama)