Pakej rangsangan ekonomi boleh tingkat perdagangan 2 hala, kata duta China

Duta China ke Malaysia Bai Tian bercakap kepada pemberita selepas melawat 4 rakyat negara itu yang pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH: Duta China ke Malaysia, Bai Tian percaya pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi akan membantu meningkatkan ekonomi dan perdagangan di China dan Malaysia.

Beliau berkata, impak daripada penularan wabak Covid-19 akan dapat dikurangkan menerusi pakej rangsangan ekonomi atau dasar khas yang dilaksanakan kerajaan Malaysia dan China.

Menurutnya, penularan virus itu menjejaskan banyak industri, terutamanya pelancongan, sambil menambah perdagangan 2 hala semasa suku pertama tahun ini mungkin terjejas disebabkan pergantungan bersama antara China dan Malaysia.

“Bagaimanapun, semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, aktiviti komersial di China menjadi perlahan jadi impaknya mungkin tidak sebesar yang anda fikirkan.

“Dalam tempoh jangka panjang, keseluruhan situasi ekonomi 2020 kemungkinan besar stabil,” katanya kepada pemberita selepas melawat 4 warga China yang pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Terdahulu hari ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh perdana menteri pada 27 Feb depan bukanlah belanjawan baru atau sebahagian daripada langkah Belanjawan 2020, tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Bantuan akan diberikan kepada sektor terjejas bagi membolehkan ekonomi bergerak sebaik mungkin dan mendapat manfaat daripada lonjakan yang dijangka berlaku pasca Covid-19,” katanya.

Lim berkata, aliran tunai merupakan kebimbangan utama dan syarikat terbabit mesti memastikan ia terus mapan, mampu beroperasi dan dapat meraih manfaat daripada lonjakan ekonomi yang bakal berlaku.

“Kerajaan akan mengambil langkah bagi membantu syarikat berkenaan, tetapi penekanan juga harus diberi bagi meneroka kaedah alternatif seperti menggalakkan pelancongan domestik dan mencari pasaran lain,” katanya dalam satu kenyataan.