Saya tak terbabit gerakan kekal jawatan PM, kata Mahathir

Anwar Ibrahim semalam menafikan Dr Mahathir Mohamad terbabit dalam usaha pihak tertentu mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan perdana menteri ke-7 itu sehingga akhir penggal kerajaan PH.

LANGKAWI: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak terbabit sebarang gerakan atau kegiatan pihak tertentu yang mahu dirinya kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.

Perdana menteri sebaliknya mengulangi kenyataan untuk berpegang kepada janji melepaskan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjurkan Malaysia November ini.

Kenyataan itu bagi menjawab spekulasi dan dakwaan 138 ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokongnya memimpin negara sehingga habis penggal seperti dilaporkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris hari ini.

“Hari ini, Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti (di Parlimen), macam mana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu (bagaimana) mereka boleh buat macam itu.

“Maknanya PH mesti sokonglah (baru boleh) dapat angka macam itu,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka hari ini.

Ditanya sama ada beliau tahu mengenai SD itu, katanya: “Saya dengar macam-macam cerita, (ada yang cakap) jadi PM sampai 20 tahun lagi, saya umur 94 tahun, lagi beberapa bulan 95 tahun, mana boleh tahan?

“Saya janji akan letak jawatan selepas APEC, itu saya pegang kepada janji saya. Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan,” katanya.

Ditanya sama ada isu peralihan kuasa perdana menteri perlu dihentikan, Mahathir berkata, perkara itu terus diperkatakan kerana ia kerap menjadi tumpuan media.

“Ini press (media) lah, press seronok sangat (membuat laporan mengenai peralihan kuasa), kalau ada kontroversi, baru ada cerita. Jadi bagi press, saya dengan (Presiden PKR) Anwar Ibrahim bertumbuk apa semua, lagi seronok cerita.”

Mengulas sikap segelintir pemimpin PH yang kerap mengulas perkara itu, beliau berkata, ia berlaku kerana media gemar bertanyakan soalan itu kepada mereka.

“Pemimpin PH buat kenyataan sebab ditanya (oleh media), kalau tak tanya tidak ada kenyataan.”

Semalam, Anwar menerusi kenyataannya berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Mahathir dan membincangkan isu peralihan kuasa.

Anwar mendakwa ada usaha PAS, sekumpulan orang Umno dan sebilangan kecil daripada PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut, malah mengulangi kenyataan tegas beliau akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan.”