SUPP persoal tidak puas hati DAP Sarawak kerana hilang kerusi DUN

Presiden SUPP Dr Sim Kui Han (kiri) berkata, beliau tidak pernah memohon kerakyatan Australia seperti Dr Ting Tiong Choon (kanan).

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempersoalkan niat DAP Sarawak selepas parti itu menyuarakan “kekecewaan” terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut.

“Adakah pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen cuba mencadangkan supaya kerajaan membenarkan individu bukan rakyat Sarawak berkhidmat di Dewan Undangan Negeri,” soal presiden SUPP Dr Sim Kui Hian.

“Saya tertanya-tanya sama ada wujud agenda tersembunyi dalam kem Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan DAP Sarawak bagi membuka jalan kepada individu bukan rakyat Sarawak mewakili kita di DUN, bukan untuk kepentingan kita, tetapi untuk cita-cita serta kerakusan politik mereka yang tidak habis-habis.”

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting berikutan kewarganegaraan berkembarnya.

Sim membidas Chong kerana membandingkan status pemastautin tetap (PR) beliau (Sim) dengan kewarganegaraan Australia Ting.

Beliau berkata, Chong mengelirukan orang ramai dengan “membandingkan status PRnya dengan kewarganegaraan Australia Ting”.

“Walaupun saya tinggal di Australia selama 17 tahun, saya tidak pernah memohon kewarganegaraannya atau menjalankan hak sebagai warganegara atau membuat apa-apa ikrar taat setia kepada mana-mana negara selain Malaysia atau Sarawak.

“Tidak seperti Ting, sebaik sahaja saya menamatkan latihan sebagai pakar kardiologi di Melborne, saya kembali ke Sarawak untuk berkhidmat di hospital awam dan kemudiannya dipilih sebagai Adun Batu Kawah,” katanya.

Sim berkata, Ting memilih untuk berkhidmat di Australia selepas menamatkan pengajian perubatan dan mendapatkan kerakyatan Australia.

“Dengan memohon kewarganegaraan Australia, Ting telah berikrar taat setia kepada negara itu.

“Perkara sama tidak disyaratkan ke atas pemohon PR,” katanya.