Tak perlu sembunyi, berahsia: Pasangan Arab Saudi sambut Hari Valentine dengan pelbagai hadiah

Pasangan di Arab Saudi bebas atau meraikan Hari Valentine malah peniaga juga dibenarkan menjual bunga ros, coklat dan anak patung.

Sejak tahun 2018, Arab Saudi tidak lagi mengharamkan sambutan Hari Valentine yang jatuh setiap 14 Februari.

Sambutan hari cinta ini tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang haram dan tidak sesuai dengan nilai agama.

Malah sejak itu, setiap kali menjelang Hari Valentine, suasana cinta dapat dirasai di negara itu.

Bunga dan perhiasan berbentuk jantung dapat dilihat di beberapa tempat di Arab Saudi.

Keadaan ini langsung tidak pernah terlintas di fikiran warganya sebelum ini iaitu kira-kira 3 tahun lalu.

Ini kerana pada masa itu, kebanyakan penduduknya atau perniagaan takut untuk membuat sebarang perhiasan yang dilihat seolah menyambut Hari Valentine.

Peniaga bunga dan coklat terpaksa menyembunyikan bunga mawar merah dan coklat kerana takut diserang oleh Suruhanjaya Promosi Kebajikan dan Pencegahan Jenayah (CPVPV).

Malah pemilik restoran juga dilarang mengadakan sebarang parti pada 14 Februari kerana takut ditangkap dan premisnya perlu ditutup.

Bekas presiden CPVPV Makkah Sheikh Ahmed Qasim Al-Ghamdi menyatakan Hari Valentine tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, meraikan kasih sayang atau cinta sejagat, tidak terhad kepada orang bukan Islam, seperti yang dilaporkan oleh Arab News.

Sejak itu, Arab Saudi merayakan Hari Valentine dengan menyediakan pelbagai jenis hadiah, bunga, belon comel dan juga anak patung beruang untuk orang tersayang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]