Umno-PAS desak PH tubuh RCI siasat Tabung Haji

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Umno dan PAS berkata, penubuhan RCI adalah bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan pelabur kepada Tabung Haji.

PETALING JAYA: Muafakat Nasional PAS-Umno mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan salah laku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji (TH) seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, setiausaha agung Umno, Annuar Musa dan setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata, RCI itu adalah bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan pelabur kepada TH.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji yang sehingga kini tidak ada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat, termasuk ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah Haji atas justifikasi konsep Istitha’ah.

“Terbaru, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations seluas 101,000 hektar sehingga menjadi hanya 24,000 hektar dengan cara yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit dalam kalangan umat Islam,” kata kenyataan itu lagi.

Setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Pada 12 Feb lepas, ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa yang enggan berdialog berkaitan pelbagai tuduhan yang dibuatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung isu TH.

Asyraf berkata, Mujahid sebaliknya “menghantar” seorang ahli jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk berdebat dengannya.

Dalam pada itu, Muafakat Nasional menyuarakan kebimbangan mengenai penjualan aset hartanah milik TH bernilai RM10 bilion kepada syarikat Kementerian Kewangan , Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.

Ia berkata, aset tersebut, termasuk tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak memberi sumbangan kepada perolehannya.

“Harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup istimewa di hati rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

“Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya, yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam,” katanya.

Mereka berkata, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diktiraf oleh dunia, malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

“Sebab itu apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba dibuat sejurus selepas PH memerintah, maka ia mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.