Covid-19: AS sedia bawa pulang rakyat dikuarantin dalam kapal Diamond Princess

Penumpang kapal persiaran Diamond Princess dari Hong Kong dikuarantin sebaik berlabuh berhampiran Yokohama, Jepun sejak 3 Feb selepas mereka didapati positif Covid-19. (Gambar AP)

MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk memindahkan rakyatnya yang dikuarantin dalam kapal persiaran Diamond Princess di pelabuhan Yokohama, Jepun, ekoran wabak Covid-19, memetik media AS lapor agensi berita Sputnik.

Pengarah Bahagian Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) di unit Persediaan dan Jangkitan Baru Henry Walke berkata, kira-kira 380 warga AS yang berada di atas kapal persiaran itu akan dipindahkan melalui 2 penerbangan, dijangka tiba di AS Ahad pagi.

Sebuah pasukan khas CDC akan menilai kesihatan penumpang dan mereka yang mempunyai gejala demam, batuk dan simptom lain yang berkaitan tidak dibenarkan menaiki penerbangan itu.

Rakyat AS yang dipindahkan mungkin akan ditempatkan di pangkalan tentera udara Travis berhampiran Sacramento, California, untuk menjalani rawatan dan ujian lanjut.

Sebahagian mereka mungkin dikuarantin untuk tempoh sehingga 14 hari. Pangkalan itu menempatkan kira-kira 230 orang yang dibawa pulang dari Wuhan.

Penumpang kapal persiaran Diamond Princess dari Hong Kong dikuarantin sebaik berlabuh berhampiran Yokohama sejak 3 Feb, selepas mereka didapati positif Covid-19.

Sejumlah 3,711 penumpang dan anak kapal berada di atas kapal itu dan setakat ini 218 orang positif dijangkiti virus tersebut.

Virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, wilayah Hubei pada akhir Disember, telah merebak ke lebih 25 negara lain.

Di tanah besar China sahaja 1,523 kematian dicatatkan dengan 66,492 orang dijangkiti.