Dua pesakit positif Covid-19 di UAE disah pulih

Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE Dr Hussein Al-Rand menghadiahkan bunga kepada warga China Liu Yujia selepas beliau disahkan negatif Covid-19 pada Ahad. Turut hadir konsul jeneral China ke negara itu, Li Xuhang (Gambar AP)

ABU DHABI: Kementerian Kesihatan dan Pencegahan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengumumkan 2 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital selepas pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 3 orang daripada 8 kes yang direkodkan.

Minggu lalu, kementerian itu mengumumkan seorang wanita Liu Yujia,73, dari China, menjadi pesakit pertama yang pulih sepenuhnya, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Kedua-dua pesakit yang baru pulih itu juga warga China, seorang lelaki berusia 41 tahun dan anak lelakinya berumur 8 tahun.

Konsul jeneral China ke UAE, Li Xuhang dan ketua Peraturan Kesihatan Antarabangsa di kementerian Dr Fatima Al Attar turut melawat bapa dan anak lelakinya itu.

Rakyat China mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan UAE atas sokongan dan rawatan perubatan yang diberikan.

Sementara itu, Al Attar berkata, bapa dan anak lelakinya dirawat di salah satu hospital terbaik di negara ini.

Beliau berkata, kajian sekarang mendapati kadar pemulihan mungkin boleh mencapai sehingga 98%.

Lima lagi pesakit masih dipantau secara berterusan dan seorang daripadanya berada di unit rawatan rapi.