Lesen jualan kondominium runtuh digantung sementara, kata Zuraida

Tingkat 6 yang menempatkan sebuah kolam renang di kondominium Taman Desa , Kuala Lumpur yang sedang dalam pembinaan runtuh dalam kejadian petang semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, lesen jualan kondominium sedang dalam pembinaan di Taman Desa yang runtuh semalam akan digantung sementara sehingga siasatan ke atas insiden itu selesai.

Zuraida berkata, Jabatan Peguam Negara akan menggantung Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL) dan satu mesyuarat akan diadakan Isnin ini antara beberapa pihak berkuasa dengan pemaju.

“Kementerian saya, sebagai pengawal selia pembangunan, akan mengadakan satu mesyuarat pada Isnin dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dan juga pemaju. Kita akan menyiasatnya (insiden) dari situ.

“Maklumat awal yang saya perolehi mengenai tanah itu mendapati tiada isu. Projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh 54 bulan dan tidak ada masalah tanah. Semuanya teratur,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Festival Seni Bina Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun siasatan ke atas punca runtuhan mungkin mengambil masa 1 bulan untuk disiapkan, namun Niosh telah diminta supaya mempercepatkannya.

Dalam kejadian petang semalam, 2 pekerja warga Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan yang berlaku. Seorang daripada mereka berjaya dikeluarkan tidak lama selepas kejadian, sementara seorang yang lain diselamatkan oleh pasukan bomba pada jam 9 malam.

Syarikat pemaju blok kondominium berkenaan, Maxim Holdings mengesahkan bahawa sebahagian lantai kolam renang yang sedang dibina di tingkat 6 runtuh, dan arahan berhenti kerja telah dikeluarkan kepada kontraktor.

Kerajaan akan utamakan arkitek Malaysia dalam projek tempatan

Dalam pada itu Zuraida berkata, beliau akan membuat gesaan supaya arkitek Malaysia diberi keutamaan dalam projek tempatan yang dilaksanakan oleh kerajaan, sekali gus menegaskan bahawa terdapat ramai pereka tempatan yang berkebolehan.

“Sebilangan mereka sangat berjaya seperti di Dubai dan mahukan peluang di negara sendiri. Tetapi oleh sebab tidak adanya peluang di sini, mereka pergi ke sana. Ertinya berlaku ‘brain drain’.”

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) maklum tentang keadaan itu sebelum ia berkuasa lagi, selain menambah bahawa beliau akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Saya akan bangkitkannya sekali lagi dan memastikan sekiranya ada projek megar, mereka (kerajaan) harus sentiasa mengutamakan arkitek Malaysia,” katanya.