Misi selamatkan buaya tersangkut tayar di Sulawesi diteruskan

Kesengsaraan seekor buaya tersangkut tayar motor di lehernya menyebabkan Matthew Nicolas Wright iaitu penjejak buaya mahu membantu buaya tersebut. (Gambar JakartaPost)

Susulan laporan media sebelum ini berhubung seekor buaya yang lehernya tersangkut dengan tayar motosikal, kini pengacara televisyen Australia, Matthew Nicolas Wright dan rakan penjejak buaya, Chris Wilson secara rasminya menyertai Agensi Konservasi Sumber Alam (BKSDA) Sulawesi Tengah.

Dua lelaki terbabit dilaporkan akan membantu pasukan khas dalam misi menyelamatkan buaya tersebut di sekitar Sungai Palu.

Pegawai BKSDA Sulawesi Tengah, Haruna berkata, penyertaan mereka itu diputuskan selepas rundingan dengan pihak Lembaga Pengarah Kementerian Konservasi Biodiversiti.

“Pasukan ini turut disertai beberapa sukarelawan daripada pelbagai pihak termasuk polis,” katanya memetik laporan media.

Usaha menangkap buaya itu sebelum ini gagal, walaupun beberapa minggu lalu, jaring dipasang di beberapa titik lokasi di Sungai Palu.

Sementara menanti ketibaan dua lelaki berkenaan, Haruna berkata, pasukan itu giat melakukan persiapan termasuk peralatan dan strategi menangkap buaya sebelum mengeluarkan tayar dari leher haiwan itu.

Buaya sepanjang 4m itu dilihat kali pertama berenang di sungai terbabit sekitar 2016.

Sebelum ini BSKDA menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berani menyelamatkan seekor buaya gara-gara tersangkut tayar pada lehernya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]