MyCC belum diberi hak didengar dalam permohonan semakan kehakiman, kata peguam Grab

Peguam Grab berkata, MyCC membuat kenyataan seolah-olah ia telah diberikan kebenaran untuk didengar dalam permohonan semakan kehakiman syarikat itu berhubung cadangan untuk mendendanya sebanyak RM86.77 juta kerana amalan menindas.

PETALING JAYA: Grab yang memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung cadangan untuk mendendanya sebanyak RM86 juta berkata, responden belum diberikan hak untuk didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Grab dan anak syarikatnya berkata, MyCC bukan satu pihak yang terlibat dalam prosiding itu.

“Pendengaran permohonan kebenaran bersifat ex-parte dan responden putatif hanya didengar jika hakim terbabit tidak dapat memutuskan sama ada wujud kes yang boleh dibahaskan,” katanya.

Malik berkata, hakim Nordin Hassan akan membuat keptusan sama ada MyCC harus didengar dalam pendengaran kes pada 9 Mac.

Beliau memberi respons terhadap laporan FMT bahawa MyCC dan kerajaan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Grab berhubung cadangan mendenda syarikat itu sebanyak RM86.77 juta atas dakwaan amalan menindas.

Malik berkata, beliau terkejut kerana MyCC membuat beberapa kenyataan seolah-olah ia diberikan kebenaran untuk mendengar permohonan kebenaran itu.

“Turut mengejutkan ialah MyCC berasa ia berhak bercakap tentang merit permohonan itu sedangkan mahkamah belum mendengar hujahan peguam Grab dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Peguam Lim Chee Wee, yang mewakili MyCC sebelum ini berkata, cabaran undang-undang oleh Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd adalah pramatang.

Pada 23 Sept tahun lepas, MyCC mencadangkan denda terhadap Grab atas dakwaan melanggar Akta Persaingan 2010 berikutan pengenaan klausa halangan ke atas pemandunya.

Dalam dokumen mahkamah yang dilihat oleh FMT, MyCC berkata, Grab diberikan peluang untuk membuat representasi berhubung cadangan itu.

MyCC berkata, ia belum membuat apa-apa dapatan mengenai dakwaan pelanggaran di bawah Seksyen 40 akta berkenaan.

Bagaimanapun, dalam permohonan semakan kehakimannya Grab antara lain, memohon perintah certiorari untuk membatalkan cadangan MyCC kerana ia tidak sepatutnya dimaklumkan kepada orang awam melalui satu sidang media dan dimuat naik ke lamanwebnya.

Ia berkata, siasatan MyCC juga bercanggah dengan keadilan dan cacat susulan salah prosedur.

Malik berkata, kertas guaman dan penghujahan bertulis jelas menunjukkan bahawa Grab membuat pendedahan penuh kepada MyCC.

“Malang sekali apabila MyCC membuat keputusan sebelum hakim berpeluang mendengar daripada Grab,” katanya.

Beliau berkata, semakan kehakiman itu membangkitkan persoalan penting tentang bagaimana MyCC harus menjalankan siasatan dan membuat cadangan di bawah Akta Persaingan.

“Cabaran ini melibatkan persoalan bidang kuasa, keesahan undang-undang dan proses.”