Pemandu mabuk akan dipenjara 20 tahun, denda RM100,000, kata Guan Eng

Lim Guan Eng melawat 5 beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor selepas dilanggar kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk, di rumah mereka dekat Bagan Jermal, Pulau Pinang hari ini. (Gambar Bernama)

BUTTERWORTH: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Ia termasuk menaikkan denda daripada tidak lebih RM20,000 sehingga RM100,000 dan penjara 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk.”

Beliau berkata demikian selepas menziarahi 5 beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas, di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal hari ini.

Lim berkata, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi, iaitu antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguhpun kadar sebenarnya sudah menurun, tetapi kita harap dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya.”

Terdahulu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada 5 beradik itu.

“Sebelum ini, kerajaan negeri, agensi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk pejabat Parlimen Bagan menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini dan saya ucapkan takziah kepada keluarga ini dan harap ibu kanak-kanak ini akan cepat sedar dan sembuh.

“Kita akan terus berikan bantuan dan perhatian kepada keluarga ini,” katanya.

Dalam nahas kira-kira 5 pagi 9 Feb lepas, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya, dalam keadaan koma.

Dalam kejadian itu, motosikal ditunggang suami isteri itu dilanggar dari belakang oleh kereta dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di KM140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, susur ke Perai di Bukit Mertajam.