Pembeli rumah desak kerajaan Selangor selesai projek terbengkalai

Sebahagian pembeli rumah Residensi Jaya tidak berpuas hati dengan perjumpaan bersama LPHS, hari ini.

SHAH ALAM: Pembeli projek rumah Residensi Jaya yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Selangor mendesak penyelesaian konkrit dan jaminan berhubung kemelut pembinaan rumah yang dihadapi mereka.

Lebih 100 pembeli projek rumah tersebut hadir ke perjumpaan bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi sesi pembentangan status pemulihan projek Residen Jaya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, mereka meluahkan kehampaan dan kecewa dengan hasil perbincangan itu kerana pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) tidak menerangkan perkembangan projek perumahan berkenaan.

Sebaliknya menurut mereka, wakil LPHS yang menjadi jurucakap kepada kerajaan negeri sekadar mengagihkan kertas survei dengan mencadangkan 3 pilihan kepada pembeli.

“Semua opsyen dalam senarai itu mustahil untuk ditunaikan. Sangat mustahil,” kata jurucakap pembeli, Yan Yee kepada FMT.

Yan Yee.

Sebelum ini, FMT melaporkan projek perumahan 2 blok itu terbengkalai sejak tahun 2018. Setiap blok setinggi 11 tingkat dan mempunyai 394 unit apartment dan 9 unit kedai. Unit terbabit dijual pada harga RM210,000 sehingga RM250,000 mengikut jenis blok.

Pada 25 Okt tahun lalu, pemaju yang seharusnya bertanggungjawab menyiapkan rumah berkenaan diisytiharkan bankrap.

Melalui kertas survei yang dilihat FMT, pembeli diberi pilihan antara:

  • Pemulangan bayaran pembelian rumah yang telah dibayar.
  • Pemulangan bayaran pembelian rumah yang telah dibayar dan bersedia menerima tawaran projek Rumah Selangorku (RSKU) di kawasan berhampiran, dan
  • Kekal untuk projek sedia ada.

Survei itu difahamkan perlu diserahkan kepada pejabat LPHS sebelum April tahun ini.

Kata Yan, kesemua pilihan itu tidak masuk akal kerana wang deposit yang sudah diberikan tidak akan dipulangkan semula.

Malah katanya, tidak akan pemaju yang mahu meneruskan projek terbengkalai itu tanpa menerima wang pendahuluan.

Atas sebab itu, beliau menggesa kerajaan negeri segera mengadakan satu pertemuan bersama para pembeli untuk menerangkan secara terperinci mengenai prosedur di sebalik setiap pilihan itu.

Terdahulu, pembeli mendakwa LPHS masih menawarkan projek Residensi Jaya kepada pembeli pada Dis 2019, iaitu selepas pemaju projek diisytiharkan bankrap.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nur Farhana Mohd Zaharom berkata, perjumpaan hari ini tidak lebih daipada pemberian kertas cadangan dan sikap LPHS yang mahu menunjukkan bahawa mereka “sudah melakukan sesuatu” dalam isu berkenaan.

“Tiada apa-apa yang lain. Exco perumahan pun tidak hadir untuk mendengar permasalahan ini,” katanya merujuk kepada exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha.

Tambah Yan, kelibat wakil pihak bank dan peguam turut tidak kelihatan dalam pertemuan itu.

Yan berkata, lebih mengejutkan, LPHS mencadangkan supaya pembeli menyediakan kertas cadangan balas untuk menangani kemelut terbabit.

“Kita pula yang kena sediakan ‘proposal’? Nanti semuanya akan ditentukan oleh pihak pemaju,” katanya.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri Selangor berhubung perkara ini.