Putrajaya digesa tak paksa penunggang Dego Ride ambil lesen PSV

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebelum ini berkata, kerajaan akan memantau Dego Ride selama 6 bulan sebelum membuat sebarang kerangka undang-undang.

GOMBAK: Penunggang Dego Ride meminta kerajaan tidak mewajibkan pengambilan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kerana bukan semua daripada mereka bekerja sepenuh masa sebagai penunggang perkhidmatan e-hailing motosikal pertama negara.

Hady Maziz, 34, yang pertama kali menyertai bidang itu berkata, jika Putrajaya memaksa mereka mengambil lesen PSV, ia akan melunturkan semangat penunggang sambilan.

Beliau turut menjangkakan penunggang e-hailing akan berkurangan jika mereka dipaksa mengambil lesen PSV.

“Setakat ini, tidak ada lagi (syarat memiliki lesen PSV). Menteri pun kata nak lihat perkembangannya terlebih dahulu, sama ada berbaloi atau tidak kami perlu ambil lesen PSV.

“Kalau kerajaan wajibkan lesen PSV kepada setiap penunggang Dego Ride, ia akan beri kesan, misalnya pelajar atau penunggang yang kerja separuh masa,” katanya kepada FMT ketika ditemui di ibu pejabat Dego Ride baru-baru ini.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd Hussain pada bulan lalu supaya Putrajaya memberi layanan sama kepada penunggang Dego Ride seperti pemandu e-hailing Grab dan MyCar, dengan mewajibkan mereka mengambil lesen PSV.

Hady Maziz.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kementeriannya akan memantau Dego Ride selama 6 bulan sebelum membuat sebarang kerangka undang-undang, termasuk keperluan memiliki lesen PSV bagi penunggang perkhidmatan itu.

Lesen PSV e-hailing ialah lesen memandu vokasional yang membenarkan pemegang lesen berharga RM115 setahun itu memandu semua jenis kenderaan komersial untuk membawa penumpang seperti teksi dan bas.

Seorang lagi penunggang Dego Ride, Muhamad Musamah Abdullah juga tidak bersetuju jika kerajaan mewajibkan mereka mengambil lesen PSV.

“Mungkin pihak yang mencadangkan mahu perkhidmatan e-hailing motosikal sama dengan pemandu kenderaan lain, tetapi saya rasa buat masa ini belum sesuai lagi,” katanya.

Penunggang berusia 26 tahun itu mahu kerajaan membenarkan perkhidmatan berkenaan diperluaskan ke negeri lain untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Muhamad Musamah Abdullah.

“Lebihkan iklan di luar negeri, setakat ini di Lembah Klang, harap diperluaskan (ke semua negeri) di Semenanjung Malaysia.”

Dego dilancarkan semula pada 1 Jan lalu selepas Putrajaya melarang ia beroperasi pada 2017 atas faktor keselamatan penunggang dan penumpang.

Kerajaan dilaporkan berkata, kemungkinan penunggang terbabit dalam kemalangan 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi daripada kereta.

Sementara itu, pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata beliau akan berusaha menambah pendapatan penunggangnya yang kebanyakannya bekerja separuh masa.

Katanya, terlalu awal untuk mengulas jika kerajaan akan mewajibkan penunggangnya mengambil lesen PSV dan jika dilaksanakan, ia mungkin membabitkan kos tertentu.

“Bila kita tak tahu kosnya dan jadi atau tak, lebih baik kita fokus (cara) menambah rezeki dulu daripada fikir sesuatu yang tidak diketahui lagi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, antara syarat untuk menjadi penunggang Dego Ride ialah mereka perlu sekurang-kurangnya 18 tahun dan usia motosikal di bawah 5 tahun.

Bulan lalu, Nabil dilaporkan berkata, 4,000 orang memohon untuk menjadi penunggang Dego Ride dengan 100 daripadanya ialah wanita setakat 1 Jan lalu.