‘Undang-undang Model’ selaras sekolah tahfiz akan digubal, kata Fuziah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, apabila satu ‘Undang-Undang Model’ dipersetujui, maka setiap negeri akan menggunakannya dan semua isu berbangkit seperti pendaftaran serta keselamatan tidak akan berulang.

TAWAU: Undang-Undang Model membabitkan hal ehwal sekolah agama, termasuk sekolah tahfiz akan dibentuk untuk menjadi garis panduan dan pemakaiannya bakal diselaras di setiap negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Fuziah Salleh berkata ketika ini, undang-undang berhubung penubuhan atau pendaftaran sekolah tahfiz di setiap negeri adalah berbeza.

“Di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri, sekolah tahfiz tidak digariskan atau berdefinisi sebagai sekolah agama, selain terdapat sekolah yang sudah berdaftar, tetapi bermasalah ekoran tidak mencapai tahap keselamatan dikehendaki pihak berkuasa tempatan atau Bomba.

“Timbalan perdana menteri mencadangkan untuk menyelaras semua undang-undang serta garis panduan berkaitan kaedah pentadbiran sekolah tahfiz dan ia disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Wanita Rahmah peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas itu, Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan bagi menyelaras undang-undang dengan mengambil elemen terbaik dari setiap negeri untuk dimasukkan dalam garis panduan dan dibentuk sebagai Undang-Undang Model.

“Apabila ia dipersetujui sebagai Undang-Undang Model, maka setiap negeri akan menggunakannya dan akhirnya kita mahu semua isu berbangkit seperti pendaftaran serta keselamatan khususnya, tidak berulang,” katanya sambil menambah bahawa tanpa undang-undang itu, adalah sukar untuk mengambil tindakan terhadap sekolah tahfiz tidak berdaftar jika berlaku perkara tidak diingini.

Fuziah berkata, satu pusat pengumpulan dana atau tabung khas untuk wakaf tahfiz akan diwujudkan susulan cadangan timbalan perdana menteri.

“Tabung itu hanya satu dibangunkan oleh kementerian dan tidak boleh tabung persendirian, kita akan salurkan sama seperti kementerian (pendidikan) salur kepada sekolah-sekolah,” katanya.