Bila nak bayar hutang peneroka, Najib tanya PH

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, selepas 2 tahun memerintah kerajaan PH telah mengambil rizab Petronas sebanyak RM102 bilion tanpa menjelaskan kegunaannya.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mempersoal bilakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janji untuk melangsaikan hutang peneroka Felda sejak peralihan kuasa kerajaan 2 tahun lepas.

Katanya, beliau sudah menghitung dan membuat kiraan mengenai hutang peneroka Felda dan menganggarkan jumlah terkini hutang pinjaman peneroka ialah RM8 bilion.

Tambahnya, sewaktu beliau menjadi perdana menteri sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, rizab tunai Petronas yang ditinggalkan pentadbirannya adalah sebanyak RM174 bilion.

Namun Najib mendakwa, selepas 2 tahun memerintah, PH sudah mengambil rizab tunai tersebut sebanyak RM102 bilion tanpa menjelaskan kegunaannya.

“Untuk apa (wang itu diambil)? Takkan dah ambil, tak boleh ambil RM8 bilion itu dan selesaikan hutang (peneroka)?

“Sebab kamu dah berjanji nak selesaikan. Apa hukumnya (tak tunai janji). Ya, munafik,” katanya pada satu program bual bicara isu semasa bersama peneroka Felda di Alor Gajah, malam tadi.

Sejak kekalahan pada PRU14, Najib lantang mengkritik kerajaan PH tentang janji 100 hari gabungan politik kepada pengundi, termasuk peneroka Felda.

Dalam pelbagai siri hantaran di Facebooknya, Najib berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menuntut janji tersebut selepas 100 hari pentadbiran kerajaan baru di Putrajaya.

Antara janji manifesto PH yang sering diulas oleh bekas pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) itu ialah penghapuskan hutang Felda, Skim Peduli Sihat, penghapusan tol dan penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Najib berkata, keutamaan dan kebajikan peneroka Felda sentiasa dekat di hati dan sanubarinya.

Ini katanya, kerana kewujudan dan kelahiran Felda berasal daripada idea ayahnya, perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

“Tun Razak punya sayang kepada Felda ni tidak ada tolok bandingnya.

“Darah yang mengalir dalam diri saya ini tak akan sesekali saya pinggir Felda,” katanya.

Beliau juga berkata, kebanyakan manfaat dan kelebihan yang ditawarkan kepada peneroka sebelum ini tidak lagi tersedia di bawah kerajaan PH.

Katanya, situasi itu sangat berbeza ketika pemerintahan kerajaan BN yang disifatkannya memberi keutamaan kepada peneroka sehingga ramai orang kampung mengimpikan status sebagai peneroka Felda.

Antara kelebihan yang disediakan oleh kerajaan BN ialah biasiswa kepada anak peneroka, pinjaman perumahan tanpa faedah dan bonus tahunan, kata ahli Parlimen Pekan itu lagi.