Empangan Mengkuang jamin bekalan air di P Pinang tak terjejas, kata Guan Eng

Lim Guan Eng melawat Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam hari ini. Turut hadir CEO Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Jaseni Maidinsa (kanan, berbaju putih). (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang akan terus berfungsi sebagai empangan strategik bagi menjamin bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas akibat musim kemarau, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, tujuan pembesaran Empangan Mengkuang bagi membolehkan ia berfungsi sebagai empangan strategik untuk memberi jaminan bekalan air kepada semua pelabur dan penduduk negeri itu tidak terjejas.

“Semasa saya menjadi ketua menteri Pulau Pinang, kita ada buat perancangan mewujudkan satu rizab strategik air dan projek di Empangan Mengkuang ini bukan saja memperluas empangan, tetapi pada masa sama, kita sudah mewartakan kawasan berhampiran sebagai kawasan tadahan air.

“Itu adalah 2 daripada 3 langkah yang menyaksikan langkah ke-3 adalah membina infrastruktur yang perlu bagi memastikan air cukup bukan saja untuk rakyat, tetapi untuk pelabur dan juga pedagang di Pulau Pinang,” katanya selepas melawat Empangan Mengkuang hari ini.

Lim berkata, perancangan itu memberi jaminan kepada semua pihak Pulau Pinang tidak akan melakukan catuan air meskipun pada musim kemarau.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, air di Empangan Mengkuang sudah mencapai kapasiti 72%.

“Saya telah difahamkan oleh Jaseni (Maidinsa) bahawa air di empangan ini mampu menampung segala keperluan air di Pulau Pinang sehingga akhir tahun.”

Sementara itu, Jaseni yang merupakan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, berkata negeri itu satu-satunya yang merancang untuk menyediakan empangan strategik dalam usaha menyimpan air ketika musim hujan bagi kegunaan musim kemarau.

Beliau berkata, empangan strategik bukan seperti empangan lain, contohnya Empangan Air Itam atau Empangan Teluk Bahang, yang airnya digunakan setiap hari.

“Empangan Mengkuang ini tujuannya menyimpan air dan pada musim kemarau panjang, apabila (paras air di) empangan harian turun, kita masih ada takungan untuk membekalkan air.”

Jaseni menyarankan kerajaan persekutuan membina sebuah empangan strategik di setiap negeri bagi menyimpan air terlalu banyak ketika musim hujan dan mengelak pembaziran dengan menyalurkannya ke laut.