Halang tugas Imigresen di Batu Caves, 2 ditahan

Jumaat lepas, tular di media sosial kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, seorang individu berusia 47 tahun ditahan pada 7 malam semalam (Sabtu), manakala seorang lagi berumur 56 tahun, diberkas kira-kira 12.30 tengah malam di sekitar Batu Caves.

“Kedua-dua mereka direman 3 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

Arifai berkata, pihaknya menerima 2 laporan daripada pihak Imigresen serta 1 laporan daripada individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.