Kit Siang gesa PH cipta sejarah, tunai sebanyak mungkin janji dalam sidang Parlimen akan datang

Pemimpin veteran DAP dan ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang meminta pemimpin PH menjadikan persidangan Dewan Rakyat akan datang bermula 9 Mac ‘persidangan yang paling penting’.

PETALING JAYA: DAP menggesa Putrajaya melaksanakan sebanyak mungkin janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada persidangan Parlimen akan datang berikutan rancangan PAS untuk membentang usul percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa wujud usaha dalam kalangan “pengkomplot dan dalang untuk membedil kerajaan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-15”.

Ini susulan laporan berita bahawa 138 ahli Parlimen telah menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Mahathir menyempurnakan penggal pentadbirannya sebagai perdana menteri.

Lim menyuarakan kekesalannya walaupun presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Mahathir menafikan terlibat dalam usaha membentuk sebuah “kerajaan pintu belakang” dalam satu mesyuarat baru-baru ini, namun ia tidak mengendurkan usaha para “pengkomplot dan dalang”.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, kerajaan gabungan itu tidaklah sempurna dan ia tidak menjangka akan memenangi pilihan raya umum 9 Mei 2018 atau menyedari tentang “skala dan takat” masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Mari kita jadikan persidangan Parlimen akan datang persidangan paling penting, bukan sahaja dalam sejarah 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan, tetapi juga sejarah negara dengan melaksanakan paling banyak janji Pakatan Harapan yang dibuat pada pilihan raya umum ke-14 untuk mewujudkan sebuah Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan Parlimen akan datang dijadualkan bermula pada 9 Mac hingga 16 Apr ini.

Minggu lepas PAS berkata, ia akan membawa usul undi percaya terhadap kepimpinan Mahathir apabila persidangan Dewan Rakyat disambung semula.

Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu adalah bagi menamatkan terus pertikaian sama ada Mahathir mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Susulan laporan berhubung 138 SD yang telah ditandatangani itu, Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan melepaskan kuasa kerajaan kepada Anwar selepas Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November ini di Kuala Lumpur.

Berdasarkan penjanjian yang dipersetujui pimpinan PH menjelang PRU14, Anwar akan mengggantikan Mahathir sebagai perdana menteri pada satu masa yang tidak ditentukan selepas gabungan politik itu mengambil alih Putrajaya.