KKM: 6 baki penumpang kapal persiaran Westerdam di KLIA sah negatif Covid-19

145 penumpang kapal persiaran Westerdam memasuki Malaysia pada Jumaat, susulan itu Putrajaya melarang kemasukan mana-mana individu dari kapal tersebut atau kapal transit dari China. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan ke atas 6 penumpang kapal persiaran Westerdam disahkan negatif berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penumpang yang terdiri daripada 4 warga Amerika Syarikat dan 2 warga Belanda itu dalam keadaan sihat, dan kini mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan selanjutnya.

“Pihak kedutaan yang berkenaan dimaklumkan mengenai keputusan ujian ini dan mereka akan dibenarkan untuk menaiki penerbangan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia sehingga ini kekal 22 orang.