Syarikat kapal persiaran mahu ujian ke-2 sahkan penumpang positif Covid-19

Penumpang dan bagasi dikeluarkan daripada kapal persiaran MS Westerdam selepas ia berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Lebih banyak ujian perlu dijalankan ke atas seorang penumpang Amerika Syarikat daripada sebuah kapal persiaran berlabuh di Kemboja, selepas Malaysia mengumumkan wanita itu dijangkiti virus Covid-19, kata operator MS Westerdam mahu hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan wanita berusia 83 tahun itu disahkan positif virus itu. Beliau dan suaminya yang negatif virus itu, dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Wanita itu ialah penumpang pertama daripada kapal persiaran kendalian anak syarikat Carnival Corp, Holland America Inc, yang positif Covid-19.

“Walaupun keputusan pertama sudah dilaporkan, ia masih di peringkat awal ketika ini dan kami masih menunggu ujian ke-2 untuk pengesahan,” kata Holland America dipetik Reuters.

Pihak berkuasa turut menggesa Malaysia mengkaji semula keputusan ujiannya.

Holland America berkata, 236 penumpang dan 747 kru masih berada di kapal persiaran itu yang berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja.

Ia tiba Khamis lalu dengan membawa 1,455 penumpang dan 802 kru. Ia menghabiskan 2 minggu di tengah lautan selepas ditolak Jepun, Taiwan, Guam, Filipina dan Thailand.

Penumpangnya menjalani ujian di atas kapal itu dan Kemboja turut menjalankan ujian ke atas mereka selepas berlabuh di negara itu, tetapi tiada penumpangnya yang didapati positif Covid-19 yang meragut 1,665 nyawa di China.

Semalam, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, wanita AS itu terbang dari Kemboja ke Malaysia Jumaat lalu bersama 144 yang lain dari kapal itu dan beliau dalam keadaan stabil.

Katanya, wanita itu satu-satunya daripada kalangan 145 penumpang menunjukkan simptom.

Reuters memetik kerajaan Kemboja sebagai berkata, ia menjalankan ujian dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Timbul kebimbangan kapal persiaran di sekitar Asia mungkin menyebarkan virus Covid-19. Seramai 285 daripada kira-kira 3,700 penumpang Diamond Princess yang dikuarantinkan di luar Yokohama, Jepun, disahkan positif virus itu dan dirawat di hospital.

Jumaat lalu, Vietnam menolak 2 kapal persiaran berlabuh di negara itu.

Sementara itu, Bloomberg Mercury memetik Kementerian Luar Belanda melaporkan sejumlah penumpang, termasuk 2 warga Belanda tidak dibenarkan menaiki penerbangan KLM dari Kuala Lumpur ke Amsterdam.

Katanya, 2 rakyatnya itu antara lebih 2,200 penumpang dan kru Westerdam.

Menurut laporan itu, pelancong yang dilarang menaiki penerbangan 810 KLM berkenaan masih berada di Malaysia bersama sekumpulan lagi warga Belanda yang disyaki mempunyai kontak dengan wanita AS disahkan positif itu.

Katanya, Institut Kesihatan dan Alam Sekitar Belanda (RIVM) menganggarkan 11 orang tidak dibenarkan menaiki penerbangan itu.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan sedang memantau sejumlah warga Belanda menaiki Westerdam yang sudah pulang ke negara itu.

Seramai 91 warga Belanda menaiki kapal persiaran itu, Bloomberg Mercury memetik jurucakap RIVM yang tidak dapat mengesahkan bilangan mereka yang sudah pulang ke Belanda.