UM: Langkah pencegahan bendung Covid-19 selaras protokol KKM

Sekumpulan pelajar Universiti Malaya hari ini membantah cara pentadbir universiti mengendalikan prosedur isolasi pelajar warga China dan sukarelawan berkait penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) menolak dakwaan sekumpulan mahasiswanya yang mendakwa ia gagal membendung penularan jangkitan Covid-19, terutamanya melibatkan pelajar dari China.

Dalam satu kenyataan hari ini, UM menegaskan pihaknya sentiasa memantau keadaan dan situasi terkini dalam menguruskan keadaan itu.

Katanya, antara langkah pencegahan yang diambil adalah mewajibkan prosedur Pengawasan Terpusat (Centralised Surveillance) selama 14 hari untuk semua pelajar baru, sedia ada dan pelajar mobiliti yang berasal atau baru pulang dari China.

Jelasnya, pelajar terbabit akan melalui proses saringan kesihatan dan pemantauan harian yang dikendalikan oleh pasukan perubatan universiti di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) berdasarkan protokol yang dirangka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kami tegaskan bahawa pelajar yang diwajibkan melalui prosedur ini adalah individu sihat yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda, tetapi perlu melakukan pengawasan kesihatan sendiri untuk tempoh 14 hari dari tarikh kepulangan mereka.

“Justeru, tiada keperluan untuk mereka diasingkan dan mereka wajar dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan KK10 secara bersama, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda (jangkitan Covid-19).”

Terdahulu hari ini, sekumpulan mahasiswa university berkenaan mendakwa sukarelawan di universiti itu diminta menguruskan penuntut China di KK10 sejak penularan wabak itu dan pelajar terbabit didapati bebas bergerak di kampus universiti.

Bagaimanapun, UM dalam kenyataan yang sama mengatakan sukarelawan di pusat pengawasan itu telah diberikan taklimat sewajarnya.

“UM komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus yang lain dan tidak akan terkompromi oleh perlaksanaan prosedur ini.

“Universiti juga akan memperkemas dan menambah baik protokol berhubung perkara ini setiap kali perlu,” katanya.